04 February 2021
•5 minute read
Ketagih Gajet, Jadual Makan Tidak Teratur Punca Anak Kecil Kurang Selera
SOALAN 1
DOKTOR, anak saya berumur 2 tahun 9 bulan, selera makannya pun tidak berapa baik. Dalam sehari, beliau kadang-kadang langsung tidak mahu menjamah makanan dan hanya mengambil beberapa suap makanan sahaja. Apakah cara terbaik untuk menaikkan selera makan beliau? Bantu saya doktor.
INGIN TAHU, SITI FAIRINA FUZI, 36,
KUALA SELANGOR, SELANGOR
JAWAPAN 1
MASALAH kurang selera makan dalam kalangan kanak-kanak memang amat meresahkan ibu bapa.
Secara ringkasnya, selera anak-anak kecil berumur 1 hingga 5 tahun akan menurun apabila kurang sihat akibat demam, batuk dan selsema. Perkara itu biasanya bersifat sementara dan kebanyakan mereka akan kembali berselera apabila sudah pulih.
Selain itu, kanak-kanak yang sembelit akan cuba mengelak daripada makan kerana tindak balas gastrokolik selepas makan menyebabkan si kecil senak usus dan sakit pada bahagian duburnya.
Ramai juga kanak-kanak di peringkat umur tersebut gemar bermain dan suka minum susu atau air yang manis secara berlebihan sehingga menyebabkan kurang pengambilan makanan pejal harian.
Bukan itu sahaja, isu ketagihan menggunakan gajet dalam kalangan kanak-kanak dan jadual tidur yang bercelaru berkait rapat dengan masalah tingkah laku dan kelainan aktiviti pemakanan anak-anak di era moden kini.
- Sebagai permulaanya, ibu-bapa digalakkan agar mencipta persekitaran aktiviti pemakanan yang sihat dan menceriakan. Usahakan rutin dan masa makan utama yang tetap secara berkala setiap hari.
- Pastikan sarapan pagi diambil. Disarankan mengambil snek ringan seperti kekacang (bagi yang tiada masalah alergi), yogurt dan avokado boleh membuka selera kanak-kanak.
- Minum air masak sejam sebelum waktu makan untuk membantu mengaktifkan sistem usus.
- Kenal pasti makanan kegemaran anak dan gunakan kreativiti dan inovasi sendiri untuk menyediakan makanan bagi membuka selera anak. Ia termasuklah mempelbagaikan jenis diet, warna dan bentuk-bentuk makanan yang menarik perhatian.
Suka juga diingatkan, usaha untuk memujuk anak untuk makan memerlukan kesabaran yang tinggi. Jangan sesekali memarahi, mendenda apatah lagi memukul kerana tindakan itu hanya akan membuatkan anak memberontak dan membenci masa makan.
Puan, seboleh-bolehnya, cari jalan agar budaya menggunakan gajet ketika memberi anak makan dihentikan. Selain itu, anak-anak yang kecil tubuhnya biasanya mengambil makanan dengan kuantiti yang sedikit pada satu-satu masa.
Oleh itu, jangan memaksa, sebaliknya pastikan pertumbuhan terus normal semasa pemeriksaan bulanan di klinik. Paling penting, aktiviti senaman keluarga bersama anak-anak dapat membantu menaikkan kadar metabolisme tubuh anak dan seterusnya menaikkan selera mereka.
Namun demikian, tidak dinafikan ada sebilangan anak-anak yang memerlukan nasihat dan pemeriksaan pakar kanak-kanak, pakar nutrisi atau pasukan pakar kaedah pemakanan kanak-kanak.
Ia adalah kerana berkemungkinan anak kecil mempunyai permasalahan kesihatan yang melibatkan sistem pemakanan seperti mengunyah, menelan ataupun kelainan sistem tiub makan (esofagus) dan usus.
Tidak kurang juga yang mengalami masalah yang berkaitan dengan tingkah, autisme dan kelainan sensori (deria rasa).
Jadi, eloklah berjumpa dgn pakar kanak-kanak untuk mendapatkan pemeriksaan dan maklumat lanjut juga mengesahkan permasalahan si kecil dengan lebih tepat dan rawatan yang sewajarnya.
Anak hilang selera makan selepas demam perkara biasa
SOALAN 2
DOKTOR, anak saya berumur 1 tahun 5 bulan. Saya ingin bertanya, kenapa anak saya sekarang seakan-akan seperti hilang selera makan. Sebelum ini beliau memang suka makan, tetapi selepas keluar dari wad akibat demam panas, selera makannya sudah berkurang. Bukan itu sahaja, anak saya juga kerap muntah. Mohon penjelasan doktor.
IBU GUSAR, ROZAINA JAMAL, 31,
SEREMBAN, NEGERI SEMBILAN.
JAWAPAN 2
TERIMA kasih atas soalan yang diajukan. Saya amat memahami kegusaran puan apabila melihat anak yang asalnya seronok makan, kini beliau hilang selera secara tiba-tiba.
Namun demikian, perlu diketahui ia adalah satu fenomena biasa bagi kanak-kanak malah orang dewasa yang baru sembuh daripada demam apabila mengalami masalah putus selera makan dan kelesuan.
Penting untuk diketahui, masalah berkenaan bergantung atas faktor individu dan tahap jangkitan yang dialami (ia boleh memakan masa selama beberapa hari atau minggu).
Lazimnya, keadaan berkenaan hanya bersifat sementara dan saya menjangkakan pada minggu berikutnya anak puan akan kembali mendapat selera makan asalnya semula, malah tidak kurang juga beliau akan makan lebih daripada biasa.
Puan juga ada menyatakan bahawa anak kerap muntah, jika simptom itu terjadi selepas pulih daripada demam, saya nasihatkan agar berjumpa dengan pakar segera untuk pemeriksaan selanjutnya kerana bimbang berlakunya komplikasi kesihatan lain.
RESIPI AYAM PARMESAN
Bahan-bahan untuk salutan ayam
- 1/2 cawan tepung serba guna
- 2 biji telur
- 2/3 cawan serbuk roti
- 1/3 cawan keju parmesan
- 1/4 sudu teh garam
- 1/4 sudu teh lada hitam
- 2 sudu besar campuran herba segar yang dicincang halus seperti thyme, pasli atau rosemary
Bahan-bahan untuk ayam
- 4 ketul bahagian dada ayam tanpa tulang, ditumbuk sehingga 1/4 ketebalan
- Garam dan lada hitam
- 2 sudu besar minyak sayuran
- 2 sudu besar minyak zaitun
- Lemon
Cara penyediaan:
- Sediakan tiga bekas atau mangkuk untuk proses penyediaan iaitu masing-masing diletakkan tepung, telur dan herba yang dicincang.
- Ayam digaul rata bersama garam dan lada hitam.
- Kemudian, celupkan ayam ke dalam mangkuk pertama berisi tepung dan goyangkan sedikit sehingga lebihan tepung jatuh. Hanya lapisan nipis sahaja kekal tersalut pada ayam.
- Seterusnya, celupkan ayam ke dalam telur, terbalikkan ayam sehingga telur bersalut rata pada ayam. Pastikan tiada lebihan salutan telur pada ayam.
- Akhir sekali, celupkan ayam dalam campuran herba, terbalikkan ayam beberapa kali untuk memastikan campuran herba menyaluti ayam dengan baik.
- Letakkan ayam yang tersedia bersalut di dalam pinggan lain. Terus ulangi langkah yang sama pada isi ayam yang lain.
- Campurkan kedua-dua minyak dan panaskan dalam kuali dengan api sederhana.
- Apabila minyak sudah panas, masukkan ayam yang sudah bersalut dan masakkan selama 2 hingga 3 minit sehingga ayam bertukar berwarna coklat keemasan.
- Hidangkan ayam parmesan bersama potongan lemon.
Artikel ini disiarkan oleh SinarPlus, 3 Januari 2021.
Share:
Was this article helpful?
04 February 2021
•5 minute read
Ketagih Gajet, Jadual Makan Tidak Teratur Punca Anak Kecil Kurang Selera
Articles and Video
Learn more about Pediatrics in Columbia Asia
Learn MoreShare:
Was this article helpful?
Health Packages
Elevate your health with tailored health packages at Columbia Asia Hospital. Take charge of your health journey today.