Skip to content

Jantung Terhenti Mengejut

28 February 2020

4 minute read

Jantung Terhenti Mengejut

Selain sakit jantung yang sering dikaitkan sebagai ‘pembunuh senyap’, jantung terhenti mengejut atau sudden cardiac arrest (SCA) sebenarnya lebih berbahaya.

Kebiasaannya situasi itu berlaku secara tiba-tiba, tanpa amaran. Mangsa akan terus tumbang, tiada nadi, gagal bernafas dan meninggal dunia dalam beberapa minit jika tidak dirawat serta-merta.

Jika dibandingkan dengan serangan jantung, dalam keba­nyakan kes mangsa masih boleh diselamatkan kerana terdapat pelbagai tanda awal untuk mengenal pasti penyakit itu termasuk sakit di bahagian dada, sukar untuk bernafas, berpeluh dan pening.

Berbeza dengan SCA yang boleh menimpa siapa sahaja termasuk individu yang sihat, cergas dan bebas daripada penyakit jantung.

Pakar Perunding Kardiologi Intervensi, Hospital Columbia Asia, Petaling Jaya, Dr Nandakumar Ramakrishnan, berkata SCA adalah keadaan di mana jantung seseorang itu terhenti secara tiba-tiba.

Bagi memahami SCA, kita perlu mengetahui bagaimana jantung berfungsi. Jantung mempu­nyai sistem elektrik yang mengawal nadi dan irama denyutan jantung. Ia berfungsi untuk mengepam jantung secara teratur.

Gangguan arimitmia

“Bagaimanapun, apabila berlaku gangguan terhadap sistem elektrik jantung, ia menyebabkan denyutan jantung menjadi tidak seragam dikenali sebagai aritmia,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Nandakumar berkata, gangguan aritmia ini menyebabkan jantung berdenyut dalam keadaan yang pelbagai sama ada terlalu cepat, perlahan mahupun tidak seragam.

“Ada aritmia yang menyebabkan jantung berhenti mengepam darah ke dalam badan sekali gus mengakibatkan berlakunya SCA.

“Contoh aritmia jenis ini termasuk ventricular fibrillation (VF) atau pulseless ventricular tachycardia (VT).

“Jika ini berlaku, darah akan berhenti mengalir ke otak dan organ lain yang penting sekali gus menyebabkan mangsa tidak mampu bernafas dan tidak sedarkan diri,” katanya.

Dr Nandakumar berkata, terdapat beberapa punca yang boleh menyebabkan serangan SCA.

Individu yang diserang sakit jantung boleh mengalami SCA. Sekiranya serangan jantung dihidapi agak teruk disebabkan arteri koronari tersumbat, ia boleh mencetuskan aritmia yang menyebabkan SCA.

“Selain itu, mereka yang menghadapi masalah cardiomyopathy iaitu jantung lemah atau bengkak dan kecacatan pada struktur jantung sejak lahir (congenital heart disease) turut boleh menjadi punca SCA,” katanya.

Beliau berkata, ia turut berpunca daripada masalah penyalahgunaan dadah.

Walaupun sukar untuk mengesan SCA berikutan tiada tanda-tanda yang jelas, kadangkala terdapat simptom untuk mengenal pasti kehadirannya.

Ia termasuk sakit dada, sukar bernafas, berasa lemah, denyutan jantung yang laju, sakit kepala dan hampir pengsan.

Buat pemeriksaan berkala

Justeru, sebagai langkah berjaga-jaga, Dr Nandakumar menggalakkan masyarakat membuat pemeriksaan berkala khususnya mereka yang berpotensi menghidap SCA.

“Mereka perlu mengetahui sejarah keluarga. Risiko lebih tinggi sekiranya ada dalam kalangan ahli keluarga menghidap sakit jantung mahu pun meninggal dunia pada usia muda tanpa sebab.”

“Selain itu, amalkan hidup sihat dan lakukan pemeriksaan rutin seperti ujian kolesterol, tekanan darah dan paras gula.”

“Individu berisiko termasuk mereka yang merokok, obesiti, mengamalkan gaya hidup tidak aktif dan mengalami tekanan darah tinggi atau pernah mengalami serangan jantung.”

“Golongan itu disarankan merujuk kepada pakar kardiologi bagi menjalani ujian termasuk elektrokardiogram (ECG), echo­cardiogram, menjalani prosedur angiogram dan imbasan Magnetic Resonance Imaging (MRI),” katanya.

Nandakumar turut berkata, kesedaran mengenai bahaya SCA perlu dipertingkatkan dalam kalangan masyarakat meman­dangkan ia boleh menyebabkan kematian jika tidak diberikan rawatan kecemasan dalam tempoh beberapa minit sahaja.

“Apabila jantung terhenti dan tidak ada bantuan kecemasan dalam kadar segera, ia menyebabkan oksigen tidak sampai ke otak.”

“Jika tidak dirawat dalam beberapa minit, mangsa meninggal dunia serta-merta.”

“Justeru, rawatan kecemasan yang boleh diberikan adalah memberikan tekanan kepada dada mangsa, bantuan pernafasan kecemasan (CPR) atau menggunakan alat defibrilator,” katanya.”

Kaedah rawatan

Menyentuh mengenai kaedah rawatan bagi pesakit yang disah­kan menghidap SCA, mereka dinasihatkan untuk menjalani pembedahan kecil dengan memasang Implantable Cardioverter Defibrillator (ICD).

“ICD adalah alat kecil yang diletakkan di bawah kulit di dada.”

“Fungsinya untuk memantau dan mengawal aritmia berbahaya dengan memberi kejutan elektrik ketika berlaku gangguan pada jantung.”

“ICD perlu ada dalam badan pesakit SCA seumur hidup memandangkan terdapat risiko berlakunya gangguan berulang,”katanya.”

Pesakit dinasihatkan menjalani electrophysiology study dan radio­frequency ablation untuk mengurangkan atau membetulkan gangguan elektrik pada jantung.

Artikel ini disiarkan oleh Berita Harian Online, 22 Februari 2020.

Was this article helpful?

28 February 2020

4 minute read

Jantung Terhenti Mengejut

Dr. Nandakumar Ramakrishnan

Cardiology

Learn more about Cardiology in Columbia Asia

Learn More

Need further assistance?

Speak directly or contact Columbia Asia hospitals near you.

Contact Us

Ask the expert

Lorem ipsum dolor sit amet, consectetuer dipiscing elit.

Ask Now

Was this article helpful?

Subscribe to our newsletter for more Health Care Tips.

This field is for validation purposes and should be left unchanged.

Follow us for latest Health Tips

The Nearest Emergency Contact

Klang

Other emergency contacts

View now
Klang

Select Your Preferred Hospital