Skip to content

Awas Bakteria Dalam Peti Sejuk

20 August 2020

4 minute read

Awas Bakteria Dalam Peti Sejuk

By

Ada beranggapan peti sejuk adalah tempat penyimpanan makanan paling selamat dan tidak mendatangkan bahaya terhadap kesihatan pengguna.

Lebih-lebih lagi apabila ada yang menyangka makanan yang disimpan dalam peti sejuk tidak akan basi sama sekali.

Hakikat itu tidak benar kerana peti sejuk juga boleh menjadi ‘lubuk’ pembiakan bakteria sekaligus merosakkan makanan dan berpotensi menjadi punca jangkitan kuman kepada pengguna.

Pegawai Perubatan Columbia Asia Hospital – Cheras, Dr S Malar Santhi berkata, kuman masih boleh membiak di dalam peti sejuk tetapi suhu yang rendah dapat memperlahankan proses pembiakan pelbagai bakteria, sekaligus melambatkan makanan menjadi basi.

Beliau berkata, terdapat dua jenis kuman yang membiak di dalam peti sejuk. Pertama ialah bersifat patogen iaitu agen penyebab jangkitan penyakit kepada manusia.

“Contoh bakteria ini ialah Salmonella yang selalunya ada pada telur dan susu.

“Bakteria ‘Clostridium perfringes’ pula terdapat pada lasagna dan lauk pauk serta ‘Campylobacter’ (daging, ayam dan ikan).

“Kedua adalah kuman seperti Pseudomonas dan kulat seperti Aspergilus yang menyebabkan bau serta rasa makanan berubah, namun ia tidak menyebabkan jangkitan atau penyakit. Kuman seperti ini dikenali sebagai bakteria pembusuk.

“Lazimnya, walaupun termakan makanan yang berubah bau dan rasa, ia tidak akan menyebabkan penyakit, tetapi memberi rasa tidak enak atau kurang bersih, ”katanya.

Katanya, dua risiko penyakit boleh berlaku kepada pengguna disebabkan bakteria dalam peti sejuk ialah keracunan makanan dan jangkitan pada usus.

Menyentuh jangkitan bakteria dalam peti sejuk boleh membawa maut atau tidak, Dr S Malar berkata, perkara itu boleh terjadi sekiranya makanan yang disimpan dalam peti sejuk tercemar dengan jangkitan bakteria merbahaya seperti E Coli dan Toxoplasmosis.

“Pusat Kawalan Penyakit di Amerika Syarikat mengganggarkan lebih kurang 48 juta orang mendapat jangkitan berpunca daripada makanan dan hampir 3,000 meninggal dunia setiap tahun.

“Dianggarkan hampir 20 peratus jangkitan itu berkaitan dengan makanan daripada peti sejuk, sama ada di rumah pengguna, pusat komersial, restoran atau pasaraya, ”katanya.

Dr S Malar berkata, ramai tidak mengetahui bahawa ada beberapa jenis makanan yang sebenarnya menggalakkan pembiakan bakteria apabila disimpan dalam peti sejuk.

“Contohnya daging lembu, kambing, ayam dan ikan. Air daripada bahan mentah sebegini, jika mengalir serta terkena pada sayur atau buah, boleh menyebabkan pembiakan bakteria menerusi jangkitan silang, terutamanya apabila dimakan mentah atau separa masak.

“Oleh itu, bahan ini perlu disimpan menggunakan kaedah penyimpanan yang betul bagi mengelakkannya menjadi agen pencemar kepada makan lain yang terdapat dalam peti sejuk, ”katanya.

Katanya, pengguna juga perlu mengetahui cara penggunaan peti sejuk yang betul dan selamat.

“Pastikan suhu peti sejuk kurang daripada empat hingga lima darjah celcius.

“Bahagian sejuk beku untuk makanan basah, suhu disarankan ialah serendah negatif 18 darjah celcius atau paling kurang sifar darjah celsius, ”katanya.

Selain itu katanya, masyarakat perlu mengamalkan kaedah penjagaan peti sejuk yang betul supaya tidak memberi kesan terhadap kesihatan.

“Langkah pertama ialah kurangkan tindakan membuka dan tutup peti sejuk kerana boleh menyebabkan suhu menjadi tidak stabil.

“Seterusnya memastikan suhu dalam peti sejuk dikekalkan pada julat yang stabil, bukannya kerap menukar suhu menaik atau menurun.

“Tutup bekas makanan walaupun di dalam peti sejuk. Bekas makanan yang terbuka, memudahkan pembiakan bakteria kerana suhu lebih tidak stabil.

“Langkah terakhir ialah meletak makanan basah seperti ikan, ayam dan daging dalam bekas bertutup atau plastik. Ini kerana air daripada makanan ini boleh mencemarkan makanan lain, ”katanya.

Kajian ‘The Use and Performance of Household Refrigerators’ mendedahkan 65 peratus pengguna dari negara maju seperti Sweden tidak mengetahui etika dan suhu peti sejuk yang sesuai digunakan. Katanya lagi, peti sejuk perlu diselenggara bagi menggelakkan kerosakan yang boleh menjejaskan kestabilan suhu.

“Peti sejuk adalah peralatan elektrik yang penting di rumah dan pengguna kena tahu etika dan cara penggunaan selamat untuk mengelakkan penyakit berkaitan peti sejuk, ”katanya.

ADDITIONAL INFO

Definisi peti sejuk
  1. Pembeku – Membekukan barangan yang disimpan dalam ruang kabinetnya.
  2. Bukan pembeku – Peti sejuk yang ada di rumah dan peti sejuk kaca yang digunakan khusus untuk menyimpan pelbagai mimnunman dalam tin, kotak dan botol.
Cara menjaga peti sejuk
  1. Membersih peti sejuk – Tutup suis plug, keluarkan semua barang dalam peti sejuk sebelum dicuci.
  2. Menjaga penyejat – Jangan cungkil timbunan air di bahagian penyejat menggunakan objek tajam seperti pisau atau gunting kerana dikuatiri menyebabkan kebocoran di bahagian berkenaan (penyejat).
  3. Kedudukan peti sejuk – Pastikan kedudukannya tidak terlalu rapat dengan dinding untuk pelepasan haba yang baik.
  4. Menyimpan makanan – Pastikan makanan dan minuman yang panas serta suam berada berada pada suhu bilik sebelum disimpan dalam peti sejuk.

Kepentingan menyimpan makanan dalam peti sejuk dengan cara betul

  1. Memastikan makanan tahan lebih lama.
  2. Memastikan makanan dalam keadaan selamat hingga dimakan.
  3. Mengekalkan rupa dan rasa makanan.
  4. Mengekalkan keenakan makanan.
  5. Mengekalkan kandungan nutrient

Photo credit: Freepik.com

Artikel ini disiarkan oleh Harian Metro, 9 Ogos 2020 .

Was this article helpful?

20 August 2020

4 minute read

Awas Bakteria Dalam Peti Sejuk

By

Learn more about in Columbia Asia

Learn More

Need further assistance?

Speak directly or contact Columbia Asia hospitals near you.

Contact Us

Ask the expert

Lorem ipsum dolor sit amet, consectetuer dipiscing elit.

Ask Now

Was this article helpful?

Subscribe to our newsletter for more Health Care Tips.

This field is for validation purposes and should be left unchanged.

Follow us for latest Health Tips

The Nearest Emergency Contact

Klang

Other emergency contacts

View now
Klang

Select Your Preferred Hospital