Skip to content

4 Punca Ekzema Terjadi Pada Bayi

29 August 2024

•

3 minute read

4 Punca Ekzema Terjadi Pada Bayi

Bayi anda ada tanda-tanda kemerahan pada pipi? Alamak, macam mana ni? Sudah tentu anda keliru dan tidak tahu sama ada ianya ekzema, alahan ataupun ruam? Kulit bayi sememangnya sensitif dan mudah terkena jangkitan, sebab itulah bayi perlu dijaga dan diperhatikan senantiasa agar tidak membawa kepada mudarat. Di dalam artikel ini, kami akan kongsikan pelbagai info mengenai ekzema, salah satu penyakit yang terjadi pada bayi. 

Pandangan mengenai ekzema pada bayi ini telah dijawab oleh Dr. Hew Khor Farn, Pakar Pediatrik dari Columbia Asia Hospital – Cheras . Menurut beliau, ekzema adalah masalah kulit yang sering berlaku dalam kalangan bayi dan kanak-kanak. Ia berlaku apabila kulit mengalami keradangan, menyebabkan kulit menjadi rengsa, gatal, bersisik dan kemerahan. 

Jenis-jenis Ekzema

Terdapat beberapa jenis radang kulit (ekzema) seperti dermatitis kontak (sentuh), dermatitis seborea, dermatitis dishidrotik, tetapi yang paling lazim adalah ekzema atopik (dermatitis atopik), di mana lebih kurang satu daripada tujuh kanak-kanak mengalami keadaan ini di Malaysia.

4 Punca-punca Berlakunya Ekzema

Ekzema kebiasaannya berpunca daripada: 

  • perengsa
  • faktor persekitaran
  • faktor genetik
  • alahan

Nota: Harus diiingatkan bahawa ekzema bukannya penyakit yang berjangkit dan tidak akan merebak daripada seseorang individu kepada individu yang lain. 

4 Simptom Ekzema yang Boleh Berlaku Pada Bayi

Antara simptom-simptom ekzema yang ibu bapa boleh ambil perhatian/cakna: 

  • kegatalan pada kulit
  • kulit yang kering dan bersisik
  • kulit kemerah-merahan
  • kesan-kesan garu pada kulit. 

Ibu bapa boleh periksa pada bahagian kulit kepala, muka terutamanya bahagian pipi dan dagu, serta lengan khususnya pada siku dan kaki terutamanya pada bahagian lutut bayi. 

Bagaimana pula untuk ibu bapa membezakan antara ia ekzema ruam atau alahan? Dr. Hew Khor Farn menerangkan bahawa ekzema adalah istilah untuk sekumpulan penyakit kulit yang melibatkan ruam, keradangan dan kegatalan kulit. Ekzema yang paling biasa berlaku adalah dermatitis atopik. Atopik di sini merujuk kepada kecenderungan untuk ekzema diwarisi secara genetik dan juga boleh menyebabkan kecenderungan perkembangan alahan lain, misalnya penyakit asma dan penyakit alahan hidung, yang juga dikenali sebagai resdung.

3 Cara Merawat Bayi daripada Flare-up

Flare-up, atau pencetusan ekzema, merujuk kepada keadaan di mana ekzema yang telah terkawal menjadi semakin teruk. Ia melibatkan gejala-gejala seperti kegatalan kulit yang semakin teruk, tompok atau ruam merah yang membesar, dan pembentukan lepuhan kecil pada kulit. Kadang-kala, ia disertai dengan tanda-tanda jangkitan kuman seperti kulit berair atau bernanah. 

Untuk menguruskan keadaan flare-up ini, bayi yang mempunyai kulit yang sangat sensitif perlu mendapatkan rawatan doktor. 

Ubat-ubatan seperti krim atau losen berasaskan steroid dan ubat anti-histamin untuk mengawal kegatalan akan dipreskripsikan. 

Ibu bapa juga boleh menggunakan pek ais atau kain basah untuk melegakan kulit yang gatal dan perit. Ini termasuk balutan basah (wet-wrap), di mana pelembap disapu seperti biasa selepas mandi, lalu membalut bahagian kulit yang terjejas dengan kain pembalut lembap dan membiarkannya semalaman untuk membantu mengekalkan kelembapan. 

Nota: Jika terdapat tanda-tanda jangkitan kuman pada kulit, ubat antibiotik akan dipreskripsikan. 

Antara rawatan untuk ekzema adalah:

  1. Ubat perencat calcineurin topikal (TCI) yang bertindak menghalang tindakan protein calcineurin yang menyebabkan keradangan dalam ekzema atopik. 
  2. Bagi pesakit yang mengalami ekzema atopik teruk yang tidak dapat dirawat secara berkesan dengan rawatan normal, ubat-ubatan boleh diberikan termasuklah ubat imunomodulator dan imunosupresan. Imunomodulator membantu untuk mengubah tindak balas sistem imun badan yang terlalu sensitif, manakala ubat imunosupresan boleh menghalang sistem imun badan daripada bertindak di luar kawalan.

7 Cara untuk Anda Menjaga Si Manja yang Menghidap Ekzema

Bagi menjaga dan mencegah ekzema dari terus berlaku pada si manja anda, anda boleh lakukan perkara-perkara di bawah:

  1. Pastikan udara yang sederhana lembap dan suhu persekitaran yang sederhana  di kawasan persekitaran bayi anda berada.
  2. Gunakan pelembap yang sesuai dengan kerap dan ketika perlu, dan sapukan pelembap secukupnya pada kulit bayi dengan segera selepas mandi. 
  3. Pakaian bayi pula perlu dipilih daripada jenis fabrik yang lembut dan mesra kulit, seperti kain kapas. Elakkan kain sintetik serta fabrik kasar. 
  4. Perhatikan juga tabiat bayi dan perkara lain seperti peluh, air liur (terutamanya bagi bayi), dan tabiat menggaru yang boleh memburukkan lagi simptom. Oleh itu, pastikan kuku bayi sentiasa dipotong pendek, dan pakaikan sarung tangan semasa bayi tidur. 
  5. Jauhkan bayi daripada produk yang mengandungi pewangi, produk yang mungkin mengandungi bahan perengsa kulit, serta produk yang mengandungi pewarna seperti sabun, syampu, pelembut pakaian dan lain-lain. 
  6. Elakkan dari membawa atau berada di kawasan yang ada asap tembakau daripada rokok, sisik atau bulu haiwan peliharaan, produk pembersih rumah (detergen), pewangi, dan perubahan cuaca. 
  7. Elakkan memberi makan apa yang bayi anda alah seperti alahan terhadap protein susu lembu. Maka, doktor akan menyarankan ujian alahan yang bersesuaian untuk menentukan pencetus alahan. Perlu diingatkan agar para ibu tidak berpantang atau mengelakkan makanan tanpa nasihat doktor kerana ini boleh menjejaskan perkembangan dan tumbesaran anak.

Bila Perlu Berjumpa Doktor?

Menurut Dr. Hew Khor Farn, ibu bapa perlu membawa anak berjumpa doktor dengan segera jika anak mengalami ekzema yang teruk dan tidak boleh dirawat di rumah, ketidakselesaan yang mengganggu waktu tidur dan aktiviti harian, serta ekzema kulit yang mungkin dijangkiti kuman (berair, bernanah, dan berdarah) ataupun demam.

Adakah Ekzema akan Berlarutan Berlaku Sehingga Mereka Besar Kelak?

Persoalan ini juga kerap muncul kerana sudah tentu para ibu bapa risau dan ingin tahu keadaan kesihatan bayi mereka bila membesar kelak. Tambah Dr. Hew Khor Farn bahawa setakat ini, belum ada lagi penawar yang berkesan untuk mencegah atau memulihkan ekzema atopik. Akan tetapi, sebahagian besar daripada kanak-kanak akan pulih sepenuhnya apabila umur mereka meningkat. Pengurusan ekzema mungkin adalah sesuatu yang mencabar, tetapi ia boleh ditangani dengan berkesan melalui penjagaan dan rawatan kulit yang baik. 

Semoga perkongsian mengenai ekzema terhadap si manja anda dapat membantu dan meleraikan kekusutan anda. Paling penting untuk para ibu bapa untuk merujuk pakar perubatan atau pakar kulit yang telah diiktiraf dan jangan percaya pada nasihat individu yang tidak berkelayakan kerana jika salah langkah, bimbang membawa maut. 

This article first appeared in Ikhlas, 29 Ogos 2024.

Was this article helpful?

29 August 2024

•

3 minute read

4 Punca Ekzema Terjadi Pada Bayi

Dr. Hew Khor Farn

Pediatrics

Learn more about Pediatrics in Columbia Asia

Learn More

Need further assistance?

Speak directly or contact Columbia Asia hospitals near you.

Contact Us

Ask the expert

Lorem ipsum dolor sit amet, consectetuer dipiscing elit.

Ask Now

Was this article helpful?

Subscribe to our newsletter for more Health Care Tips.

This field is for validation purposes and should be left unchanged.

Follow us for latest Health Tips

The Nearest Emergency Contact

Klang

Other emergency contacts

View now
Klang

Select Your Preferred Hospital