“Tak tau duduk diam. Nanti bentan luka tu, baru tau!” Begitulah keluhan ibu-ibu kepada anak-anak lelaki yang baru berkhatan. Selain itu, kita juga pasti pernah terdengar nasihat seperti “Jangan makan telur dan ayam lepas surgery, nanti luka bernanah.”. Ini merupakan antara pantang larang yang sering didengari dan diturunkan kepada seseorang yang baru menjalani pembedahan. Pantang larang lain juga termasuk elakkan memakan makanan laut dan juga ikan yang menyebabkan kegatalan kerana boleh membuatkan tempat luka gatal, serta elakkan buah dan sayur berangin dan sejuk seperti kobis, kekacang, timun, tembikai dan lain-lain kerana luka akan lambat sembuh. Pantang larang ini sering dikaitkan dengan pengalaman nenek moyang dan dipercayai mampu membantu penyembuhan luka dengan lebih cepat. Namun, adakah ini benar? Adakah ia fakta sains, atau sekadar mitos turun-temurun?
Faktor yang Mempengaruhi Penyembuhan Selepas Pembedahan
Sebenarnya, terdapat beberapa faktor saintifik yang mempengaruhi proses penyembuhan luka pembedahan. Antaranya adalah:
- Saiz luka
- Tiada jangkitan kuman pada luka
- Pengambilan zat makanan dan nutrisi yang mencukupi terutamanya protein
- Masalah kesihatan lain pada pesakit, contohnya kencing manis, sakit buah pinggang dan lain-lain
- Keseimbangan antara rehat dan pergerakan untuk memastikan penyembuhan yang lancar

Fakta vs Mitos Selepas Pembedahan
Mitos 1: “Makanan berprotein seperti ayam dan telur boleh menyebabkan luka bernanah.”
Fakta: Protein adalah komponen penting dalam proses penyembuhan luka. Nutrien ini diperlukan untuk pembentukan tisu baru dan mempercepatkan pemulihan luka. Makanan seperti ayam, ikan, dan telur adalah sumber protein berkualiti tinggi yang membantu membaiki sel dan tisu yang rosak. Kepercayaan bahawa makanan berprotein ini menyebabkan luka bernanah atau lambat sembuh sebenarnya adalah mitos. Luka bernanah biasanya berpunca daripada jangkitan bakteria, bukan disebabkan oleh makanan. Oleh itu, pengambilan protein selepas pembedahan bukan sahaja tidak memudaratkan, malah sangat penting untuk proses penyembuhan. Walaubagaimanapun, bagi sesetengah individu yang memang mempunyai alahan kepada makanan berprotein seperti telur, mereka sewajarnya perlu mengelakkan makanan tersebut selepas pembedahan bagi mengelakkan komplikasi, dan memilih makanan berprotein lain bagi membantu mempercepatkan pemulihan luka.
Mitos 2: “Makanan laut dan ikan yang sering menyebabkan kegatalan boleh membuatkan luka menjadi gatal.”
Fakta: Makanan laut seperti udang dan sotong memang boleh mencetuskan alahan pada sesetengah individu. Jika seseorang mempunyai sejarah alahan terhadap makanan laut, mereka sewajarnya perlu mengelakkan makanan tersebut selepas pembedahan bagi mengelakkan komplikasi. Namun, bagi individu yang tidak mempunyai alahan, makanan laut adalah sumber protein dan mineral yang baik untuk pemulihan luka.
Pesakit juga perlu diingatkan yang gatal-gatal pada luka bukan berpunca daripada makanan, tetapi ia biasanya adalah sebahagian daripada proses penyembuhan semula jadi.
Mitos 3: “Makan buah dan sayur berangin dan sejuk melambatkan penyembuhan luka.”
Fakta: Istilah “makanan sejuk” pada buah dan sayur seperti timun dan tembikai tidak mempunyai asas saintifik dalam konteks melambatkan penyembuhan luka. Semua jenis buah dan sayur adalah kaya dengan vitamin dan mineral yang membantu mempercepatkan proses penyembuhan luka.
Walaupun istilah “makanan berangin” seperti kubis, brokoli, dan kekacang boleh menghasilkan gas di dalam usus, ia tidak memberikan kesan langsung kepada penyembuhan luka. Sekiranya seseorang menghadapi ketidakselesaan perut, makanan ini boleh dielakkan buat sementara waktu, tetapi ia bukan pantang larang mutlak.
Mitos 4: “Terlalu aktif atau terlebih bergerak boleh menyebabkan luka menjadi bentan dan lambat sembuh”
Fakta: Bergerak secara terkawal dan dengan bimbingan profesional kesihatan adalah kunci untuk pemulihan yang berkesan. Dalam konteks perubatan moden, istilah “bentan” merujuk kepada komplikasi seperti sakit, bengkak, atau radang yang berlaku apabila pesakit tidak mematuhi panduan pemulihan pasca-pembedahan. Ia juga boleh merujuk kepada ketidakselesaan akibat otot yang tidak digunakan terlalu lama (deconditioning) atau pergerakan yang tidak sesuai.
Selepas pembedahan, badan memerlukan keseimbangan antara rehat dan pergerakan untuk memastikan penyembuhan yang lancar. Terlalu lama berbaring boleh menyebabkan kekakuan sendi yang boleh menjadikan pergerakan lebih susah, peningkatan risiko bagi Deep Vein Thromobosis (DVT) atau pembentukan gumpalan darah di dalam sistem saluran darah yang dalam, dan pengecutan otot dimana kekuatan otot berkurang akibat daripada kekurangan penggunaan.
Di sinilah peranan fisioterapi menjadi penting dalam proses pemulihan. Fisioterapi selepas pembedahan bertujuan untu menggalakkan penyembuhan luka melalui senaman ringan untuk melancarkan aliran darah selain dapat mengurangkan risiko komplikasi seperti pneumonia atau DVT, dengan menggalakkan pergerakan aktif awal. Tambahan pula, fisioterapi daoat meningkatkan keupayaan fungsi dan ini dapat membantu pesakit kembali kepada aktiviti harian dengan lebih cepat.
Fisioterapi untuk Pemulihan
Setiap pesakit memerlukan program fisioterapi yang disesuaikan mengikut jenis pembedahan. Sebagai contoh, selepas pembedahan abdomen atau tulang belakang, latihan pernafasan dan pergerakan sendi yang ringan akan diberikan kepada pesakit. Selain itu, bagi pembedahan ortopedik (contohnya lutut atau pinggul), pesakit and menjalani latihan untuk menguatkan otot dan meningkatkan julat pergerakan sendi selepas pembedahan. Fisioterapi juga membantu mendidik pesakit tentang posisi dan teknik yang selamat untuk bangun, duduk, atau berjalan bagi mengelakkan tekanan pada kawasan pembedahan.
Kesimpulannya, sebahagian besar pantang larang selepas pembedahan adalah mitos yang tidak mempunyai asas saintifik. Apa yang lebih penting ialah memastikan tubuh mendapat nutrien dan pergerakan yang mencukupi untuk penyembuhan luka yang lancar sambil memastikan keupayaan badan terjaga. Walaubagaimanapun, jika pesakit berasa kurang selesa selepas mengambil makanan tertentu atau mempunyai alahan, mereka perlu berunding dengan doktor atau dietitian dengan segera. Selain itu, pesakit juga boleh mendapatkan nasihat daripada doktor dan fisioterapis untuk mendapatkan panduan yang betul bagi program fisioterapi selepas pembedahan. Ini bukan sahaja dapat mengelakkan “bentan”, tetapi juga dapat membantu pesakit mencapai kualiti hidup yang lebih baik dalam masa yang lebih singkat.

Artikel ini disiarkan oleh BH Online, 06 Februari 2025 & Utusan, 27 Januari 2025
Share:
Was this article helpful?
Share:
Was this article helpful?
Health Packages
Elevate your health with tailored health packages at Columbia Asia Hospital. Take charge of your health journey today.