Kuala Lumpur: Solat Isyak terpaksa dijamak dalam waktu Maghrib. Itu antara pengalaman getir penyelidik Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Wan Mohd Rauhan Wan Hussin sepanjang sebulan melakukan penyelidikan di Antartika.
Beliau yang juga Timbalan Pengarah Pusat Penyelidikan Antartika Kebangsaan (NARC) berkata, waktu siang yang lebih panjang ketika musim panas di benua berkenaan.
“Ini menyebabkan saya terpaksa melakukan solat jamak iaitu Isyak pada waktu Maghrib kerana dibolehkan mengikut pandangan ulama.
“Sebenarnya senario ketika musim panas (di Antartika), siangnya lebih panjang. Bayangkan kalau jam 10 malam langit masih merah menandakan senja masih ada dan jam 2 pagi pula, matahari sudah mula terbit.
“Memang ulama atau pakar agama di Eropah mengusulkan pandangan dibolehkan mendirikan solat Isyak dengan dijamak pada waktu Maghrib.
“Malah situasi sama pernah berlaku ketika saya melanjutkan pengajian peringkat doktor falsafah (PHD) di Scotland. Masa bergelap (malam) lebih singkat,” katanya.
Kata Wan Mohd Rauhan, perbezaan iklim di Antartika tidak menjejaskan rutin berikutan stesen King Sejong iaitu lokasi menempatkan penyelidik dari Korea Selatan termasuk rakan kolaborasi strategik beliau, Korean Polar Research Institute lengkap dengan fasiliti diperlukan.
“Meskipun hidup di benua asing dan kawasan paling sejuk di dunia, ia tiada bezanya kerana kemudahan lengkap di tempat penyelidikan.
“Saya mandi seperti biasa walaupun suhu sekitar 5 hingga -5 darjah Celsius di Antartika. Kubikel tempat penyelidik tinggal dilengkapi sistem pemanas termasuk untuk air mandi.
“Malah penyelidik juga tidak perlu bimbang berikutan kami masih boleh menikmati sajian sayur dalam hidangannya. Mereka (penyelidik) memiliki kebun dalam fasiliti sekali gus membolehkan kami memperoleh bekalan sayur meskipun berada di Antartika.
“Bagi penyelidik Muslim seperti saya, mereka sediakan menu sesuai dengan keperluan berasaskan sayuran dan adakalanya sajian makanan laut,” katanya.
Menyentuh cabaran perlu dihadapi di Antartika, Wan Mohd Rauhan berkata, mereka perlu sentiasa bersedia dengan sebarang kemungkinan.
“Tugas penyelidik sangat mencabar terutama apabila perlu turun ke laut dan menaiki bot untuk mengumpul sampel.
“Bayangkan ketika itu keadaan laut berombak kuat, kami disimbahi air laut sejuk. Walaupun sudah mengenakan jaket kalis air namun kami tetap basah.
“Mahu tidak mahu kena tahan sejuk dan siapkan tugas mengutip sampel organisma kecil dasar laut. Walaupun organisma ini kecil, tetapi berperanan besar dan menyimpan banyak rahsia berkaitan iklim global,” katanya.
Tambahnya, perjalanan untuk ke Stesen King Sejong terletak di lokasi pulau agak terasing di Antartika.
“Ia memerlukan perjalanan menaiki kapal terbang dan bot untuk sampai ke lokasi itu. Kali ini saya ditemani pelajar sarjana. Ketika pulang, saya menempuh detik mencemaskan apabila bot dinaiki dipukul ombak besar,” katanya yang sudah tiga kali berada di Antartika.
Difahamkan Steseb Kutub Selatan Amundsen- Scott, Antartika dikendalikan Program Antartika Amerika Syarikat dan pernah mencatat suhu terendah – 82.8 darjah Celcius.
Boleh maut kalau tak kuat
Maut menanti bagi individu yang tidak mampu berdepan cuaca ekstrem di Antartika terutama bagi mereka yang sukar menyesuaikan diri.
Pakar Perubatan Dalaman Columbia Asia Hospital Setapak, Dr Shanthini K Muthusamy berkata, individu seperti penyelidik yang berada di persekitaran ekstrem di Antartika berdepan suhu serendah -80 darjah Celsius selain kelajuan angin tinggi.
“Individu yang pertama kali berada dalam persekitaran ekstrem perlu lebih peka dan sensitif dengan perubahan pada diri mereka.
“Langkah ini penting apabila sesiapapun berisiko untuk menghidapi frostbite dan hipotermia di benua beku itu.
“Individu terdedah kepada suhu udara sangat rendah, terutama dalam keadaan angin bertiup kuat seperti rutin penyelidik di Antartika yang memerlukan mereka melakukan kerja lapangan di luar,” katanya.
Tambah pakar itu lagi, golongan berisiko perlu lebih cakna dengan tahap kesihatan diri termasuklah perubahan yang berlaku pada tubuh selain melakukan persiapan diri dengan meningkatkan ketahanan serta keupayaan tubuh.
“Latihan fizikal untuk meningkatkan ketahanan dan keupayaan tubuh serta latihan khusus yang menekankan daya tahan dan kekuatan dituntut bagi menempuhi persekitaran ekstrim.
“Individu perlu membawa pakaian yang sesuai untuk melindungi diri dari suhu rendah dan angin sejuk kutub. Pakaian itu juga perlu sentiasa dalam keadaan kering dan berkualiti tinggi untuk menjaga kehangatan.
“Mereka juga perlu memahami teknik pemulihan diri dalam persekitaran yang mencabar,” katanya.
Dari segi aspek pencegahan penyakit berkait dengan suhu persekitaran terlalu rendah, beliau menyarankan individu yang berada dalam kawasan atau persekitaran ekstrim memantau suhu badan secara berkala.
Artikel ini disiarkan oleh My Metro, 14 April 2024.
Share:
Was this article helpful?
Share:
Was this article helpful?
Health Packages
Elevate your health with tailored health packages at Columbia Asia Hospital. Take charge of your health journey today.