Skip to content

Awasi Lelehan Yang Luar Biasa

25 March 2019

2 minute read

Awasi Lelehan Yang Luar Biasa

Masalah keputihan ketika hamil antara keluhan yang sering dialami si ibu, namun perlukah masalah ini dikhuatiri?

Tahap peningkatan estrogen badan semasa hamil meningkatkan aliran darah ke kawasan pelvik dan merangsang membran mukus namun lelehan faraj yang tidak disenangi wanita ini tidak dicipta sia-sia kerana ia ada fungsinya yang tersendiri.

Ia bertindak sebagai pembersih semula jadi vagina, membantu mencegah jangkitan dengan membuang bakteria seterusnya menjaganya sentiasa berada pada paras pH yang normal dan membuang sel mati.

Hampir semua wanita mengalami lelehan faraj yang lebih daripada biasa semasa kehamilan. Ini berlaku disebabkan semasa kehamilan, serviks (leher rahim) dan dinding vagina menjadi semakin lembut dan lelehan meningkat untuk membantu mencegah jangkitan dari faraj ke rahim. Apabila melahirkan anak, biasanya masalah ini hilang sendiri.

Pakar Sakit Puan Hospital Columbia Asia Setapak, Dr Herbert Low berkata, meskipun masalah lelehan faraj ketika hamil kebanyakannya tidak perlu dikhuatiri dan sebahagian daripada perkara normal kehamilan, tetapi amat penting untuk si ibu memberitahu doktor jika lelehan itu menimbulkan ketidakselesaan.

Katanya, lelehan faraj dikatakan normal semasa hamil jika ia jernih atau berwarna putih tanpa menyebabkan rasa gatal atau tidak selesa.

Sebaliknya jika lelehan terlalu banyak hingga memerlukan ibu hamil menukar pad atau pelapik seluar dalam dengan kerap, gatal, berbau kurang menyenangkan atau bertukar warna, ia perlu diambil perhatian kerana mungkin itu tanda jangkitan.

“Jika lelehan vagina disebabkan jangkitan, risiko kelahiran pramatang serta air ketuban pecah lebih awal daripada sepatutnya.

“Oleh itu, sentiasa dapatkan nasihat perubatan di fasiliti kesihatan sekiranya anda mendapati lelehan vagina yang tidak normal. Jangkitan biasanya boleh dirawat oleh doktor dengan pemberian ubatan.

“Kebiasaannya, lelehan faraj yang tidak normal adalah disebabkan perubahan pada flora di bahagian itu. Flora faraj normal biasanya didominasi pelbagai spesis pembersihan semula jadi laktobasilus yang juga dikenali sebagai bakteria baik.

“Kewujudannya bertujuan sebagai perlindungan terakhir untuk mengelakkan berlakunya masalah jangkitan pada bahagian sulit dengan menghasilkan hidrogen peroksida dan asid laktik untuk menghalang pembiakan yis dan bakteria yang tidak diperlukan,” katanya.

Beberapa panduan boleh diikuti

  • Sentiasa memastikan bahagian faraj dalam keadaan bersih dan kering.
  • Elakkan penggunaan pembersih faraj yang mengganggu kestabilan pH atau menyebabkan kegatalan.
  • Gunakan pelapik seluar dalam pada saat yang diperlukan saja. Elakkan juga pemakaian seluar dalam yang ketat dan diperbuat daripada satin.
  • Jangan guna sebarang produk wangian seperti bedak atau ubat sembur pada bahagian faraj.
  • Elakkan pengambilan ubat secara berterusan tanpa nasihat doktor.
  • Kurangkan pengambilan makanan yang tinggi kandungan gulanya.
  • Amalkan gaya hidup sihat
  • Elakkan kehadiran benda asing di dalam faraj seperti kondom yang tertinggal selepas aktiviti seks.
  • Basuh bahagian sulit dengan air bersih dan buang air kecil selepas aktiviti seks.
  • Berjumpa pegawai perubatan dengan segera dan jalani pemeriksaan vagina jika ada tanda yang dinyatakan di atas.

Gejala keputihan

  • Keputihan atau lelehan lendir yang keluar daripada faraj wanita ada pelbagai sifatnya dan berbeza di antara wanita.
  • Biasanya berwarna jernih atau kelabu keputihan.
  • Jika keputihan tidak berubah warna kekuningan atau kehijauan bermakna tiada jangkitan.
  • Pangkal uterus juga mengeluarkan lendir dengan tujuan mencantumkan benih lelaki (sperma) dan perempuan (ovum) dalam proses persenyawaan.
  • Lendir dikeluarkan menghasilkan tenaga dan makanan kepada sperma bagi tempoh persenyawaan berlaku.
  • Jika anda aktif dalam melakukan hubungan kelamin, perlu jalani ujian lumuran pap dan pemeriksaan pelvis.
  • Keputihan atau lendir faraj berubah akibat perubahan hormon dan perubahan mental, jangkitan, ubatan dan penyakit dalaman. Wanita mempunyai kitaran haid yang dipengaruhi hormon.
  • Keputihan dianggap bermasalah seandainya ia keluar terlalu banyak, berbau busuk, hanyir dan menyebabkan bahagian sulit berasa gatal atau radang.

Penyakit lain dikaitkan dengan jangkitan

  • Kulat candidiasis (keputihan seperti kepingan susu basi)
  • Kuman tricomonas (lelehan keputihan atau tidak berwarna cair, banyak, berbuih)
  • Bakteria vaginosis (lelehan berbuih, berbau hanyir).
  • Kuman chlamydia (jarang menyebabkan lelehan).
  • Kuman gardneralla (lelehan cair berbau busuk)

Artikel ini disiarkan oleh Harian Metro, 25 March 2019

Was this article helpful?

25 March 2019

2 minute read

Awasi Lelehan Yang Luar Biasa

Dr. Low Wea Haw

Obstetrics And Gynecology

Learn more about Obstetrics And Gynecology in Columbia Asia

Learn More

Need further assistance?

Speak directly or contact Columbia Asia hospitals near you.

Contact Us

Ask the expert

Lorem ipsum dolor sit amet, consectetuer dipiscing elit.

Ask Now

Was this article helpful?

Subscribe to our newsletter for more Health Care Tips.

This field is for validation purposes and should be left unchanged.

Follow us for latest Health Tips

The Nearest Emergency Contact

Klang

Other emergency contacts

View now
Klang

Select Your Preferred Hospital