Satu kepercayaan karut apabila seseorang bangun tidur didapati ada kesan lebam dan gumpalan darah di bawah kulit dikatakan berpunca daripada gangguan makhluk halus.
Tahukah anda sebenarnya kesan lebam dan gumpalan darah terutama membabitkan bahagian kaki itu berkaitan dengan masalah darah beku atau trombosis.
Menurut Pakar Perunding Perubatan Dalaman Columbia Asia Hospital Iskandar Puteri, Johor Bharu, Dr. Dimitraj Maniam, masalah darah beku atau trombosis boleh menjadi petanda kepada masalah kesihatan lebih serius apabila berlaku bukan disebabkan kecederaan atau trauma.
“Masalah darah beku atau trombosis merujuk kepada keadaan apabila darah dalam saluran darah menjadi pekat dan membentuk gumpalan.
“Ini biasanya berlaku akibat kecederaan atau kerosakan pada saluran darah, apabila sistem tubuh berusaha menghentikan pendarahan dengan membentuk gumpalan di kawasan yang tercedera.
“Namun, dalam beberapa kes, darah boleh membeku tanpa sebarang kecederaan pada saluran darah yang boleh mengakibatkan masalah kesihatan serius.
“Darah beku boleh terbentuk dalam arteri atau vena. Jika terbentuk dalam arteri, ia boleh menghalang aliran darah ke organ penting seperti jantung atau otak dan seterusnya mengakibatkan serangan jantung atau strok.
“Sebaliknya, jika terbentuk dalam vena, ia boleh menyebabkan keadaan seperti trombosis vena dalam (DVT) di betis atau peha atau embolisme pulmonari di paru-paru,” katanya.
Pakar itu menjelaskan kecederaan pada saluran darah yang mendorong pembekuan darah boleh juga disebabkan pembedahan, kecederaan fizikal atau keradangan.
Faktor lain pula termasuk imobilisasi yang berpanjangan seperti duduk atau baring terlalu lama, kehamilan, obesiti, tabiat merokok dan penggunaan pil perancang atau terapi hormon.
“Darah beku yang bukan berpunca daripada ‘trauma’ (kecederaan) lebih membimbangkan kerana mungkin gejala berpunca daripada penyakit kronik seperti kanser, penyakit jantung dan penyakit autoimun juga boleh meningkatkan risiko darah beku.
“Selain itu, faktor genetik juga memainkan peranan apabila sesetengah individu mungkin mewarisi kecenderungan tinggi untuk pembentukan darah beku secara spontan tanpa sebarang punca,” katanya.
Malah Dr. Dimitraj berkata, situasi tertentu bagi masalah darah beku itu jauh lebih bahaya kerana membawa kepada komplikasi serius yang boleh mengancam nyawa.
“Masalah darah beku boleh menjadi sangat berbahaya dan memberi kesan besar kepada Kesihatan.
“Darah beku yang terbentuk dalam arteri berpotensi menyebabkan serangan jantung atau strok apabila kedua-duanya boleh mengancam nyawa.
“Selain itu, darah beku dalam vena seperti DVT juga sangat serius. Jika darah beku ini berpindah dari lokasi asalnya ke paru-paru melalui aliran darah, ia boleh menyebabkan embolisme pulmonari yang juga boleh membawa maut.
“Darah beku juga boleh menyebabkan kesakitan, bengkak dan kerosakan tisu di kawasan yang terjejas. Oleh itu, adalah sangat penting untuk mengesan dan merawat masalah darah beku secepat mungkin bagi mencegah komplikasi serius,” katanya.
Lebih berisiko lagi apabila masalah darah beku ini dialami individu yang kurang cakna dengan pengetahuan berkaitan kesihatan.
“Sebagai contoh, tidak semua tahu sakit atau bengkak pada kaki boleh menjadi petunjuk kepada DVT.
“Begitu juga dengan sesak nafas atau sakit dada secara tiba-tiba yang mungkin dianggap sebagai gejala biasa, tetapi ia sebenarnya disebabkan embolisme pulmonari.
“Selain itu, masih ada yang tidak tahu beberapa faktor seperti duduk terlalu lama tanpa bergerak, merokok dan kurang melakukan aktiviti fizikal boleh meningkatkan risiko pembentukan darah beku.
“Oleh itu, meningkatkan kesedaran risiko dan tanda awal adalah penting untuk pencegahan dan rawatan awal,” katanya.
Orang ramai boleh memantau tanda masalah darah beku yang berbahaya dengan memberi perhatian kepada gejala tertentu.
Sakit atau bengkak yang muncul secara tiba-tiba dan tanpa sebab yang jelas pada kaki terutama jika hanya pada satu sisi, boleh menjadi petunjuk bagi DVT.
Selain itu, perubahan warna kulit, rasa panas di kawasan yang terjejas atau vena yang kelihatan timbul dengan lebih jelas juga boleh menjadi tanda.
“Bagi pesakit untuk kes embolisme pulmonari, gejala termasuk sesak nafas secara tiba-tiba, sakit dada yang teruk, batuk berdarah atau rasa pening dan pengsan.
“Adalah penting untuk individu terbabit mendapatkan rawatan perubatan segera jika mengalami mana-mana gejala ini.
“Pemeriksaan berkala dengan doktor turut membantu mengesan risiko yang mungkin menyebabkan masalah darah beku,” katanya.
Bagi rawatan untuk darah beku pula, pakar itu berkata, biasanya penggunaan ubat-ubatan anticoagulant bagi menghalang pembekuan darah daripada berterusan dan membantu melarutkan darah beku diberikan kepada pesakit.
Dalam kes yang lebih serius, prosedur seperti trombolisis ialah di mana ubat tertentu disuntik untuk melarutkan darah beku atau trombektomi, gumpalan darah dikeluarkan secara pembedahan juga mungkin diperlukan bergantung kepada seriusnya masalah darah beku yang tidak dapat ditangani menerusi pemberian ubat semata-mata.
Share:
Was this article helpful?
Share:
Was this article helpful?
Health Packages
Elevate your health with tailored health packages at Columbia Asia Hospital. Take charge of your health journey today.