Skip to content

Fahami Masalah Jangkitan Cacing

11 August 2024

•

4 minute read

Fahami Masalah Jangkitan Cacing

Risiko ancaman jangkitan cacing kepada kanak-kanak di Malaysia masih nyata terutama di kawasan dengan tahap kebersihan yang rendah dan mempunyai akses terhad kepada kemudahan kesihatan. 

Pakar Pediatrik Columbia Asia Hospital Seremban Dr Lee Kok Fung berkata, kes jangkitan cacing juga masih tinggi terutama di kawasan Orang Asli dan kawasan pedalaman.

“Jangkitan cacing biasanya berlaku menerusi laluan ‘fecal-oral,’ iaitu merujuk kepada mulut dan najis atau dubur.

“Beberapa faktor yang boleh meningkatkan risiko jangkitan cacing antaranya termasuk kurangnya kebersihan dan sanitasi, tiada punca air bersih, serta kurangnya pendidikan kesihatan mengenai cara mencegah jangkitan cacing.

“Selain itu, makanan yang tidak bersih juga menyumbang kepada peningkatan risiko,” katanya.

Kanak-kanak di kawasan pedalaman terutama dalam kalangan masyarakat Orang Asli masih terdedah kepada risiko ancaman jangkitan cacing.

“Masalah jangkitan cacing tidak begitu serius di kawasan kerja saya iaitu di kawasan bandar, dengan kes yang semakin berkurangan berkat peningkatan kesedaran terhadap ancaman cacing. Kini, saya jarang menemui kes jangkitan cacing.

“Namun, ketika saya bertugas sebagai pegawai perubatan di sebuah hospital daerah, saya pernah merawat seorang kanak-kanak Orang Asli berumur empat tahun yang hanya seberat 11 kilogram (kg) (purata berat badan bagi kanak-kanak empat tahun adalah 15 hingga 18kg).

“Kanak-kanak itu mengalami muntah darah dan cacing, demam, batuk, dan kadar pernafasan laju. 

“Dia juga mengalami anemia yang teruk dengan kadar hemoglobin yang sangat rendah dan kekurangan nutrien yang serius. 

“Pada masa sama menghidap penyakit radang paru-paru, masalah muntah darah dan jangkitan cacing yang menyebabkan keadaannya sangat kritikal,” katanya.

Tambah pakar itu, kanak-kanak yang mengalami jangkitan serius juga berisiko untuk meninggal dunia akibat jangkitan yang teruk dan komplikasi seperti kekurangan zat makanan serta anemia teruk.

“Rawatan terhadap kanak-kanak itu dilakukan secara berhati-hati kerana badannya tidak dapat menampung rawatan yang agresif. 

“Mujur selepas rawatan cacing, pemindahan darah dan antibiotik keadaan kanak-kanak itu bertambah baik,” katanya.

Kata Dr Fung, jangkitan cacing menjejaskan kesihatan kanak-kanak termasuklah tumbesaran mereka boleh terbantut andai tidak dirawat.

“Kanak-kanak yang mempunyai masalah cacing mungkin menunjukkan pelbagai simptom bergantung kepada jenis cacing dan tahap jangkitan. 

“Antara simptom umum adalah sakit perut yang berterusan atau berulang, disebabkan gangguan fungsi usus oleh cacing. 

“Gangguan perut dan usus oleh cacing juga boleh menyebabkan cirit-birit atau sembelit. Selain itu, gatal di kawasan dubur terutama pada sebelah malam, menandakan jangkitan cacing kremi,” katanya.

Jenis cacing.

Kanak-kanak juga akan  kehilangan selera makan atau penurunan berat badan juga boleh berlaku kerana cacing menyerap nutrien daripada makanan, menyebabkan kekurangan zat. 

Dalam kes jangkitan cacing berpanjangan turut mengakibatkan masalah tumbesaran seperti ketinggalan dalam ketinggian atau berat badan berbanding kanak-kanak lain yang sebaya. 

“Di samping itu, kanak-kanak yang mengalami masalah cacing lebih serius akan menghidapi kelesuan dan keletihan sebagai tanda anemia akibat kehilangan darah. 

“Kanak-kanak itu juga mungkin mengalami mual atau muntah akibat kerengsaan dalam sistem pencernaan. Kehadiran cacing atau segmen cacing pita dalam najis atau sekitar dubur adalah tanda pasti jangkitan. 

“Batuk atau sesak nafas juga boleh berlaku jika kanak-kanak mempunyai masalah cacing. Akhir sekali, sesetengah kanak-kanak mungkin mengalami ruam kulit atau reaksi alahan akibat toksin yang dikeluarkan oleh cacing,” katanya.

Justeru, bagi kanak-kanak di kawasan berisiko biasanya menurut Dr Fung, pengambilan ubat cacing setiap enam bulan amat disarankan.

“Di kawasan yang berisiko tinggi seperti luar bandar atau tempat dengan sanitasi yang kurang baik, disarankan supaya kanak-kanak mengambil ubat cacing setiap enam bulan (dua kali setahun). 

“Amalan ini disyorkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai langkah pencegahan utama. Sebaliknya, di kawasan yang mempunyai risiko lebih rendah atau di mana sanitasi dan kebersihan adalah lebih baik, pengambilan ubat cacing mungkin hanya diperlukan sekali setahun atau mengikut keperluan,” katanya.

Kesedaran ibu bapa juga sangat penting dalam memainkan peranan memantau keadaan anak mereka jika terdapat gejala jangkitan cacing.

“Malah kesedaran ibu bapa mengenai masalah cacing dan risiko kepada anak-anak berbeza-beza bergantung kepada pelbagai faktor termasuk tahap pendidikan, akses kepada maklumat kesihatan dan kesedaran umum mengenai kebersihan.

“Ibu bapa yang lebih berpendidikan cenderung mempunyai pengetahuan yang lebih baik mengenai jangkitan cacing, tanda-tanda dan kepentingan pencegahan serta cara mengelakkan jangkitan. 

“Sebagai panduan penting, jika mereka mendapati kanak-kanak menunjukkan simptom mencurigakan seperti sakit perut, gatal-gatal di kawasan dubur atau terdapat cacing di dalam najis, perlu mendapatkan rawatan perubatan segera,” katanya.

Rawatan untuk jangkitan cacing biasanya membabitkan penggunaan ubat antiparasit yang bertujuan membunuh atau mengeluarkan cacing dari tubuh.

Ubat antiparasit adalah rawatan utama untuk pelbagai jenis jangkitan cacing seperti cacing gelang, cacing cambuk, cacing tambang, cacing pita, dan cacing kremi. 

Malah ubat ini juga biasanya diambil dalam dos tunggal, tetapi dos tambahan mungkin diperlukan bergantung kepada jenis dan tahap jangkitan.

Artikel ini disiarkan oleh Harian Metro, 11 Ogos 2024.

Was this article helpful?

11 August 2024

•

4 minute read

Fahami Masalah Jangkitan Cacing

Dr. Lee Kok Fung

Pediatrics

Learn more about Pediatrics in Columbia Asia

Learn More

Need further assistance?

Speak directly or contact Columbia Asia hospitals near you.

Contact Us

Ask the expert

Lorem ipsum dolor sit amet, consectetuer dipiscing elit.

Ask Now

Was this article helpful?

Subscribe to our newsletter for more Health Care Tips.

This field is for validation purposes and should be left unchanged.

Follow us for latest Health Tips

The Nearest Emergency Contact

Klang

Other emergency contacts

View now
Klang

Select Your Preferred Hospital