Tidak semua wanita berkahwin bernasib baik apabila mengalami keguguran saat mengandungkan si kecil sedangkan ketika itu wanita terbabit sudah dibuai kegembiraan menjalani fasa kehamilan dan menunggu saat menjadi ibu.
Walaupun sedih, murung dan putus asa tatkala mengetahui bayi yang dikandung keguguran, namun perasaan tersebut tidak boleh dibiarkan terlalu lama kerana dikhuatiri akan menjejaskan kitaran haid sekali gus menyukarkan wanita terbabit merancang kehamilan yang seterusnya.
Menurut Pakar Sakit Puan, Hospital Columbia Asia Cheras, Dr. Haw Wan Lye, terdapat tiga kategori gangguan haid selepas keguguran iaitu keguguran awal, keguguran pertengahan kehamilan dan pengambilan ubat serta makanan selepas keguguran.
Katanya, seseorang wanita perlu memberitahu doktor tentang cara berlakunya keguguran sama ada secara spontan atau keguguran tidak lengkap yang memerlukan ubat atau Dilatation and Curettage (D&C).
“Seseorang wanita akan mengalami pendarahan secara semula jadi selepas keguguran bagi tempoh seminggu secara purata. Kemudian wanita terbabit akan mengalami menstruasi tetapi haid tersebut akan terganggu sama ada cepat atau lambat kerana gangguan hormon.
“Ini kerana semasa hamil, hormon estrogen tiada atau rendah sementara hormon progestron tinggi. Jika hormon progestron tinggi sahaja tidak akan berlaku haid,” katanya.
Menurutnya, amat penting untuk wanita memantau tempoh haid bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku selain bagi membolehkan rawatan susulan dijalankan.
“Normal bagi wanita mengalami haid pada awal atau lambat dari kitaran haid sebenar untuk tempoh tiga bulan atau tiga kitaran, tetapi sekiranya melebihi tempoh tersebut mereka disarankan berjumpa doktor bagi mendapatkan pandangan dan rawatan.
“Bagi keguguran tidak lengkap pula, tempoh pendarahan dijangka sehingga atau selama 10 hari dan kitaran haid juga tidak lancar bagi tempoh tiga kitaran,” jelasnya.
Tambah Wan Lye, bagi wanita yang mengalami keguguran pada pertengahan kehamilan, mereka dijangka mengalami pendarahan selepas keguguran selama dua minggu atau boleh berlanjutan sehingga enam minggu.
ADA wanita tidak didatangi haid selepas keguguran akibat gangguan emosi seperti terlalu sedih. GAMBAR HIASAN
Ini kerana, mereka yang keguguran antara 13 dan 20 minggu perlu melalui proses seperti bersalin.
“Kitaran haid mereka akan kembali normal hanya selepas badan berhenti menghasilkan susu. Menstruasi tidak akan berlaku jika susu badan masih terbentuk. Kebiasaannya, doktor akan memberi ubat bagi menghentikan pembentukan susu supaya haid kembali mengikut kitaran asal.
“Haid akan kembali dalam jangka masa enam bulan jika tiada pembentukan susu tetapi sekiranya tidak berlaku (haid) selepas tempoh itu, mereka juga disarankan berjumpa doktor untuk mengetahui punca dan langkah mengatasinya.
“Wanita yang mengalami keguguran pada peringkat ini tidak boleh terlalu lama tidak didatangi haid kerana datang bulan penting bagi menentukan pengeluaran telur (ovulasi) dan kesuburan untuk merancang kehamilan,” jelasnya.
Begitu pun, terdapat situasi luar biasa apabila wanita tidak didatangi haid selepas keguguran akibat gangguan emosi seperti terlalu sedih, tekanan atau merindui kehamilan lalu.
Keadaan tersebut amat merisaukan dan jika berlanjutan akan membawa kepada perkara yang menakutkan seperti selamanya tidak didatangi haid.
“Walaupun kes tersebut jarang berlaku, tetapi ada wanita pernah mengalaminya. Jika berlaku perkara sebegini, rawatan segera perlu dilakukan kerana ia bukan sahaja petanda tidak subur tetapi mengganggu selaput dalam rahim seperti pembentukan polip iaitu ketebalan selaput dalam rahim disebabkan hormon dan ketidakdatangan haid,” katanya.
Antara punca lain penyebab gangguan haid adalah pengambilan ubat-ubatan dan pemakanan. Namun, kesannya tidak sama kepada setiap wanita dan bergantung kepada latar belakang seseorang.
Selain itu, pengambilan herba, jamu dan rempah yang terlalu banyak turut mengganggu haid kerana kandungan makanan tersebut bersifat panas dan mengandungi bahan-bahan yang mendorong kepada kelambatan proses kedatangan haid.
Begitu juga pengambilan suplemen yang mengandungi kolagen turut memberi efek kepada kitaran haid.
Artikel ini disiarkan oleh Utusan Malaysia, 12 Februari 2019
Share:
Was this article helpful?
Share:
Was this article helpful?
Health Packages
Elevate your health with tailored health packages at Columbia Asia Hospital. Take charge of your health journey today.