Skip to content

Ibu Kongsi Pengalaman Sebelum, Semasa & Selepas Berkhatan Bayi Lelaki Guna Teknik Laser

31 December 2020

8 minute read

Ibu Kongsi Pengalaman Sebelum, Semasa & Selepas Berkhatan Bayi Lelaki Guna Teknik Laser

“Adik tak nak sunat, adik takut lah!”

“Haih, silap aku tak sunatkan anak aku ni semasa bayi, kan senang”

Apabila anak khususnya anak lelaki sudah mencapai umur dalam lingkungan 6 tahun ke atas, pada masa inilah ramai dalam kalangan ibubapa yang akan menjalankan prosedur berkhatan. Bila nak pujuk anak supaya bersetuju tu, memang susahlah sebab terbayangkan prosedur berkhatan ini adalah sesuatu yang mengerikan! Jadi, ada dalam kalangan ibu bapa yang mengambil keputusan untuk mengkhatankan bayi, walaupun bayi lelaki semenjak dari kecil.

Untuk ibu bapa yang bakal merasai pengalaman ini, jom kita baca perkongsian pengalaman yang dikongsikan oleh ibu dimana dia memilih untuk menggunakan teknik laser, mengkhatankan bayi lelaki.

Sebenarnya saya teragak-agak nak kongsi ataupun tidak pengalaman ini. Tetapi rasa terpanggil untuk kongsikan juga memandangkan tak banyak artikel pengalaman orang lain di internet yang saya boleh rujuk sebelum ini. Pertama sekali syukur ke hadrat Ilahi, anak saya Yuu baru sahaja selamat berkhatan semasa berumur 2 bulan setengah. Memandangkan semua mak ayah yang ada anak lelaki akan tempuh juga pengalaman berkhatan, disini saya nak kongsikan pengalaman berkhatan bayi lelaki. Sebenarnya plan asal kami nak khatankan Yuu semasa 3-4 bulan, tetapi memandangkan umur 2 bulan Yuu dah mula bergolek dan ada masalah yang menyebabkan perlu sunat segera. Maka, terpaksalah buat secepat mungkin.

Ada banyak teknik untuk berkhatan, tetapi kami memilih teknik laser di Columbia Asia Hospital, Iskandar Puteri. Prosedur dilakukan oleh Dr. Zulkarnain Hasan, Pakar Bedah. Saya kongsikan pengalaman sebelum dan selepas:

Sebelum Berkhatan

Dari hari sebelum lagi saya dah berdebar sebenarnya. Almaklumlah anak lelaki pertama, tak ada pengalaman. Saya cuma pastikan Yuu betul-betul cukup tidur sahaja pada hari sebelum sambil mencari pengalaman mak ayah lain. Saya juga sudah sediakan kelengkapan “perang” sebelum keluar rumah, antaranya:

  1. Rancang lokasi nak tukar diaper yang lebih selesa dan praktikal di rumah sebab proses menukar diaper pasti ambil masa lebih lama selepas berkhatan untuk proses mencuci dan letak ubat.
  2. Selesaikan kerja-kerja rumah yang tertunggak supaya boleh fokus pada pengurusan anak sekurang-kurangnya 2-3 hari pertama. (Basuh cadar, vacuum, mop, basuh baju, bersihkah habuk ataupun apa-apa yang “menyakitkan” mata).
  3. Kemas beg anak untuk ke hospital, bawa:
    • Spray air (untuk membersihkan anak sebelum proses berkhatan).
    • Diaper yang saiz besar sedikit daripada biasa (3 keping).
    • Kain bedung yang selesa (digunakan nanti).
    • Sepasang baju tambahan (bawa yang jenis baju berbutang bahagian depan).
    • “Nursing cover”.
    • Puting tiruan (untuk menenangkan anak semasa dan selepas proses berkhatan). *tapi tak berkesan untuk anak saya.

Semasa Berkhatan

Sebelum masuk ke bilik rawatan, saya pastikan Yuu betul-betul kenyang dan selesa supaya prosedur berkhatan berjalan lancar nanti. Periksa juga diaper anak betul-betul bersih.

Nak cerita bagaimana doktor melakukan prosedur berkhatan, takut tersalah beri info. Cuma ini proses yang anak saya alami semasa berkhatan,

  1. Baju anak perlu dibuka sepenuhnya sebelum proses berkhatan.
  2. Jururawat membedung bahagian tangan anak untuk limitkan pergerakan.
  3. Bahagian kemaluan akan dibersihkan lagi seterusnya doktor mencucuk ubat bius anak di 2 lokasi. (Anak saya mula menangis kuat semasa ini)
  4. Walaupun baru umur 2 bulan setengah, tapi agak kuat anak saya menendang nak minta dilepaskan kaki dan tangannya. Agaknya kalau dah lagi besar mesti lagi mencabar nak limitkan pergerakan anak.
  5. Bila anak dah menangis kuat, saya cuba beri puting tiruan tapi tak berjaya. Menyanyi dan bercakap dengan anak pun tak berjaya. Hanya mampu usap-usap sahaja kepala anak.
  6. Yang penting mak ayah jangan menangis atau stress, nanti anak pun turut stress dan risau menganggu kerja doktor.
  7. Apabila selesai sahaja proses berkhatan, proses menjahit pula tak silap saya 6 jahitan. Semuanya hanya mengambil masa 15-20 minit.
  8. Akhir sekali, kawasan dikhatan disapu ubat dan dibalut menggunakan gauze lembut utk mengurangkan pergerakan.
  9. Pada awalnya saya risau juga macam mana nak bawa anak balik, rupanya tak ada masalah pun pakaikan diaper dan baju seperti biasa.
  10. Anak saya berhenti menangis selepas selesai proses menjahit malah tertidur kepenatan masa saya dukung berjalan ke kereta. Dalam hati tak putus-putus rasa bersyukur semuanya berjalan lancar sambil memikirkan penjagaan anak lepas berkhatan.

Selepas Berkhatan

Sebenarnya saya membayangkan anak saya akan menangis selepas berkhatan, dari pagi sampai tak tidur malam. Tetapi alhamdulillah anak hanya menangis masa berkhatan sahaja. Lega. Berikut adalah diari selepas anak saya berkhatan untuk panduan saya juga jika ada rezeki dapat anak lelaki lagi.

Hari Pertama:

  • Anak saya tidur nyenyak sepanjang keluar hospital seterusnya sambung tidur di rumah mungkin penat sangat menangis tadi.
  • Jururawat ada maklumkan yang balutan tadi kena tunggu 24 jam baru boleh buka.
  • Memandangkan anak tak boleh mandi, saya cuma lap-lap sahaja badan anak dengan kain lembab dan hanya guna spray air semasa proses menukar diaper.
  • Jangan usik kawasan balutan dan jangan meniarapkan bayi semasa ini. Perlu sangat hati-hati semasa mengangkat bayi.
  • Untuk memastikan anak saya tidur nyenyak dan risau anak menahan sakit malam-malam. Saya beri ubat demam/tahan sakit (paracetamol) pada anak seperti yang dibekalkan. Kuantiti ubat perlu mengikut berat anak.
  • Saya kerap tukar diaper anak dan pastikan diaper kering sebelum anak tidur lama waktu malam.
  • Untuk sendawakan bayi, saya guna teknik meniarapkan di paha dan pastikan tekanan lebih di perut dan dada anak.

Hari Kedua:

  • Anak tidur malam macam biasa, tak seperti yang saya jangkakan. Syukur sangat!
  • Benda pertama yang saya buat bila anak bangun tidur ialah tukar diaper dan periksa balutan sebab risau balutan dah terbuka dan ganggu kawasan jahitan.
  • Selepas 24 jam daripada waktu anak selesai berkhatan barulah boleh buka balutan.
  • Jururawat ada kata kalau tak berani nak buka balutan sendiri boleh buat di hospital.
  • Perlu basahkan dengan air dahulu pelekat baru tarik pelekat sebab gamnya agak kuat.
  • Dah buka semua, barulah saya mandikan anak guna air suam yang mengalir di sinki yang bersih.
  • Lepas dah lap bersih, pakaikan ubat sapu yang dibekalkan hospital seterusnya pakai baju macam biasa.
  • Saya pakaikan baju yang jenis jumper suit berbutang depan, supaya kurang tekanan di bahagian bawah dan mudah nak periksa diaper anak.
  • Saya periksa diaper anak setiap 2 jam.
  • Disebabkan anak dah mula bergolek, perlu perhatian lebih sebab dia agak stress bila tak boleh meniarap.

Hari Ketiga:

  • Anak tidur seperti biasa, waktu ini saya betul-betul rasa yang khatankan anak masa bayi tak adalah ngeri seperti bayangan saya.
  • Kerap periksa diaper anak seperti biasa.
  • Hari ini saya dah mula nampak ada benang yang sudah mula tertanggal dan kawasan jahitan pun ada yang mula kering dan tak merah sangat.
  • Waktu ini saya dah mula berani meniarapkan bayi menggunakan bantal menyusu (nursing pillow) dan pastikan tekanan lebih di lutut dan siku anak, bukan di kawasan kemaluan.

Hari keempat dan seterusnya dah mula mudah, sebab kawasan jahitan dah mula kering dan benang tertanggal dengan sendiri. Anak saya dah mula bergolek-golek dan meniarap semasa hari kelima. Temujanji dengan doktor semasa hari ketujuh, syukur sangat tak ada komplikasi semasa berkhatan.

Fuhh, lega sangat dah selesai. Terima kasih kepada Dr. Zulkarnain dan team! Kebetulan dalam minggu yang sama, sepupu Yuu juga berkhatan tetapi menggunakan teknik clamp di klinik swasta. Sepupunya hanya beza umur 3 hari sahaja dengan Yuu dan tahap perkembangan juga sama, sudah bergolek dan meniarap sendiri. Pendapat saya, ada pros dan cons bagi kedua-dua teknik ini.

Kelebihan dan Kekurangan Beza Teknik Berkhatan

Bagi teknik laser, risiko tinggi jika dilakukan oleh orang tidak mahir sebab saya yang melihat pun seriau tengok! Sebab itu kami memilih melakukan prosedur ini dengan doktor pakar bedah. Tetapi yang bagusnya sakitnya hanya sekali dan anak saya menangis semasa proses berkhatan sahaja. Malamnya dan hari seterusnya tak ada merengek kesakitan walaupun semasa tukar diaper dan mandi.

Bagi teknik clamp pula, mengikut cerita kakak saya. Semasa proses berkhatan, anak menangis kuat juga dan selepas-lepas itu juga kerap merengek seperti menahan sakit tak selesa waktu malam pertama hinggalah hari ketiga clamp dibuka. Anaknya menangis setiap kali kencing, tukar diaper dan semasa buka clamp. 2 minggu baru kulit jadi normal dan sembuh sepenuhnya.

Ditambah lagi, anak ada reaksi alergi terhadap ubat sejak lepas bius kaki bengkak sampailah malam pertama. Habis satu badan bengkak merah. 3 hari duduk di wad untuk pemantauan doktor pakar kulit. Syukur sangat tak ada apa yang serius. Cuma selepas ini perlu sentiasa ingat yang anak ada alergi dengan paracetamol dan ubat bius.

Jadi, dalam kes kakak saya mungkin kes terpencil tak semua bayi ada alergi ubat. Kalau ada yang tanya saya, jika ada rezeki dapat anak lelaki nak sunatkan semasa bayi lagi ataupun tidak? Saya akan kata ya dan memilih teknik laser berbanding teknik clamp untuk bayi.

Tapi kalau tanya kakak saya, kakak saya tak mahu dah sunatkan anak semasa bayi sebab ada sejarah anak alergi ubat bius dan paracetamol (ubat tahan sakit) dan keluarga saya juga ramai yang ada masalah alergi. 2 minggu juga baru anak pulih sepenuhnya.

Lain orang, lain pengalamannya. Ini sekadar pengalaman kami khatankan anak lelaki semasa bayi dari perspektif mak ayah. Apa-apa pun sila rujuk dengan doktor untuk konsultasi. Di akhir tahun ini ramai mak ayah yang khatankan anak. Saya harap perkongsian saya ini membantu untuk mak ayah lain dapatkan gambaran khatankan anak. Silakan share sekiranya bermanfaat.

Artikel ini disiarkan oleh SirapLimau, 7 December 2020.

Was this article helpful?

31 December 2020

8 minute read

Ibu Kongsi Pengalaman Sebelum, Semasa & Selepas Berkhatan Bayi Lelaki Guna Teknik Laser

Dr. Zulkarnain Hasan

General Surgery

Learn more about General Surgery in Columbia Asia

Learn More

Need further assistance?

Speak directly or contact Columbia Asia hospitals near you.

Contact Us

Ask the expert

Lorem ipsum dolor sit amet, consectetuer dipiscing elit.

Ask Now

Was this article helpful?

Subscribe to our newsletter for more Health Care Tips.

This field is for validation purposes and should be left unchanged.

Follow us for latest Health Tips

The Nearest Emergency Contact

Klang

Other emergency contacts

View now
Klang

Select Your Preferred Hospital