Anak-anak adalah pemberian yang sangat ternilai, dan tiada ibu bapa di dunia ini dijadikan bersedia untuk menerima anak-anak yang mempunyai kekurangan.
Begitu juga ibu bapa yang dianugerahkan dengan anak-anak autisme. Rata-rata anak-anak autisme dilahirkan dengan keadaan fizikal yang sempurna dan sama comel seperti kanak-kanak yang lain.
Namun, sedikit demi sedikit, simptom autisme akan dapat dikenal pasti oleh ibu bapa. Antara kriteria utama yang dilihat adalah dari segi komunikasi, perkembangan sensori dan masalah kelakuan berulang.
Kanak-kanak autisme mengalami masalah mengekspresikan diri. Gangguan komunikasi ini bukan sahaja melibatkan pertuturan, malah ekspresi wajah serta gerak-geri badan.
Kanak-kanak yang normal umumnya mudah menerima dan memahami sebarang maklumat.
Namun bagi mereka yang autistik, proses ini terlalu kompleks. Ini membuatkan mereka tidak keruan dan boleh mengalami ‘meltdown.’
Anda tentu pernah mendengar perkataan ‘meltdown’. Meltdown berlaku apabila anak-anak autisme merasa tidak selesa dalam diri mereka, yang mendorong mereka untuk bertindak luar jangkaan seperti menghantukkan kepala, menggigit diri sendiri, melompat-lompat atau menghempaskan badan ke lantai.
Nyata, masalah autistik ialah suatu masalah yang rumit dan sensitif. Bukan sahaja sukar untuk anak autisme memahami orang lain, orang lain turut sukar memahami mereka.
Tingkah laku anak autisme
Terdapat pelbagai isu tingkah laku yang dikaitkan dengan anak-anak autisme. Ini bergantung kepada tahap autisme yang dialami mereka.
Ada yang kelihatan senyap dan seperti berada di dalam dunia mereka tersendiri, manakala ada yang bertindak hiperaktif, impulsif dan agresif.
Mereka mengelak dari berhubung mata dengan orang lain (eye contact) dan kadangkala kurang bertindakbalas apabila namanya dipanggil. Mereka sukar untuk melakukan aktiviti berkumpulan dan lebih suka untuk melakukan aktiviti yang manarik minat mereka sahaja.
Tetapi, ada kalanya mereka menunjukkan kelebihan yang tertentu seperti melukis atau menghafal dialog! Namun, kadar kebolehan tidak seimbang kerana mereka tidak mampu berinteraksi dan berkomunikasi.
Dalam keadaan autisme yang ringan, sesetengah ibu bapa menganggap tingkah laku seperti ini adalah normal di kalangan kanak-kanak kecil, seterusnya terlepas pandang situasi sebenarnya.
Lazimnya, ibu bapa dapat mengesan sesuatu yang tidak kena dengan anak-anak mereka apabila perkembangan pertuturan anak-anak terjejas. Antara ciri-ciri yang dapat dikenal pasti oleh ibu bapa adalah apabila anak-anak lain sudah mula bertutur namun, anak mereka masih belum boleh mencantum perkataan. Biasanya, keadaan ini berlaku apabila anak autisme berumur sekitar tiga tahun ke atas.
Sebenarnya, autisme dapat dikesan seawal usia 12 hingga 18 bulan. Malah, pakar yang terlatih akan mengenalpasti tanda-tanda autisme dengan lebih awal.
Rutin jangan ditukar
Antara langkah-langkah yang boleh diambil untuk mengurangkan isu tingkah laku di kalangan anak-anak autisme adalah dengan mengadakan rutin harian. Anak autisme lebih selesa mengikut rutin. Contohnya mandi dulu atau makan dulu, pakai baju dulu atau seluar dulu dan sebagainya.
Ini mungkin nampak remeh kepada kita, tetapi ianya amat penting untuk anak autisme. Jika sesuatu rutin sudah dijalankan, anak autisme tidak dapat membayangkan rutin yang lain. Oleh itu, jangan menukar rutin secara tiba-tiba kerana ia boleh menyebabkan mereka merasa tidak selesa dan menunjukkan tingkah laku yang sukar difahami.
Kedua, kenali keadaan-keadaan yang boleh mencetuskan emosi mereka. Ibu bapa hendaklah memerhatikan apakah sebab-sebab yang boleh membawa kepada anak-anak autisme mereka berang secara tiba-tiba.
Adalah penting juga untuk ibu bapa kenal pasti, apakah situasi yang memberi ketenangan kepada anak-anak ini. Apabila punca sudah dikenal pasti, anda boleh menjana suasana asuhan yang lebih terpelihara untuk anak syurga anda.
Sokongan padu dari ahli-ahli keluarga lain juga diperlukan supaya mereka faham cara menangani anak autisme.
Bukan semua anak autisme sama
Satu lagi perkara yang masyarakat perlu tahu ialah autisme mempunyai tahap yang berbeza. Dari satu spektrum, tingkah laku mereka sukar difahami atau tidak dapat difahami langsung oleh orang sekeliling mereka.
Dari satu spektrum yang lain, anak-anak ini kelihatan normal seperti anak-anak yang lain, namun berkemungkinan mempunyai masalah komunikasi dan mempunyai masalah untuk bersosial.
Disebabkan oleh masalah memproses maklumat yang berbeza dengan kanak-kanak lain, kadangkala mereka lewat memberi respon kepada sesuatu maklumat.
Tetapi, tahukah anda kebanyakan mereka mempunyai tahap sensitif deria yang lebih tinggi dari biasa? Deria mereka amat sensitif hinggakan bunyi yang kita anggap biasa contohnya bunyi putaran kipas yang lembut dan tenang, boleh diproses sebagai suatu jeritan yang bingit.
Apa reaksi anda apabila mendengar jeritan? Pasti takut, keliru, terganggu, stres, hairan atau berang. Bayangkan anak autisme yang derianya lebih sensitif dari deria kita. Logik jika yang dizahirkan ialah amuk yang mendadak!
Namun ada juga yang mempunyai sensitiviti yang rendah, di mana mereka menunjukkan reaksi yang sedikit terhadap kesakitan ataupun suhu. Ibu bapa pula yang keliru bila anak-anak ini tidak mengadu apa bila terjatuh atau luka, ataupun bersahaja bila terpengang sesuatu yang panas.
Pentingnya memahami anak autisme
Ada juga anak autisme yang memaparkan sifat peramah dan penyayang secara berlebihan sehingga menerpa dan menyentuh orang yang tidak dikenali. Keadaan ini boleh membawa salah sangka dan menyebabkan anak autisme berasa lebih tertekan. Di sinilah kempen kesedaran autisme memainkan peranan di kalangan masyarakat.
Dari spektrum yang lain pula, ada anak autisme yang mampu faham dan difahami. Malah, mereka juga mampu menjaga diri sendiri. Anak autisme dalam spektrum ini berpeluang meraih pekerjaan dan berdikari apabila dewasa nanti.
Jika anda syak anak anda autistik, hubungi pakar kanak-kanak dengan segera. Pengesanan awal serta langkah-langkah intervensi boleh memberi pencerahan tentang autisme. Ini bukan sahaja membantu kanak-kanak tersebut, ia turut membantu ibu bapa mengasuh anak syurga mereka dengan lebih cekap dan selamat.
Artikel ini disiarkan oleh Getaran, 2 April 2021.
Share:
Was this article helpful?
Share:
Was this article helpful?
Health Packages
Elevate your health with tailored health packages at Columbia Asia Hospital. Take charge of your health journey today.