Malaysia memang terkenal dengan pelbagai jenis makanan. Cendol dengan gula Melaka pekat memang mencengkam kalbu! Makanan kaya karbohidrat seperti beriani, nasi lemak, roti canai dan sebagainya, memang lazat hingga menjilat jari.
Tahukah anda, mengikut kajian yang dijalankan oleh Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2019 (National Health and Morbidity Survey/NHMS), setiap hari 53.2 peratus rakyat Malaysia gemar minum air manis yang dibancuh sendiri yang mengandungi sekurang-kurangnya tiga sudu kecil gula sehari.
Manakala 4.2 peratus pula suka minum minuman berkarbonat dan 6.7 peratus suka minuman segera 3 in 1 bergula.
Maka tidak hairanlah kes diabetes di Malaysia melonjak dari setahun ke setahun. Tabiat pemakanan rakyat Malaysia memainkan peranan besar sebagai salah satu punca kes diabetes yang berleluasa.
Selain daripada pemakanan, gaya hidup juga adalah salah satu punca diabetes.
Sebanyak 25 peratus rakyat Malaysia tidak bersenam. Ditambah pula dengan tabiat pemakanan yang disebutkan tadi, 50 peratus berisiko menjadi obes sekali gus menambah menambah risiko mendapat penyakit diabetes.
Menurut data yang diperolehi oleh Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2019 (National Health and Morbidity Survey/NHMS), kesihatan seorang daripada lima rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas, terjejas akibat diabetes mellitus atau lebih dikenali dengan istilah singkat, diabetes.
Bayangkan, bilangan pesakit diabetes meningkat dari 11.2 peratus dalam tahun 2011 ke 18.3 peratus pada tahun 2019!
Setakat ini, tiada ubat yang dapat memulihkan penyakit ini sepenuhnya. Namun itu bukan bermakna kita harus murung dan hidup dalam kesengsaraan.
Kesihatan pesakit mesti dikawal dengan baik supaya penyakit ini tidak melarat dan komplikasi diabetes tidak berlaku.
Ketahuilah bahawa pesakit diabetes juga boleh menikmati kualiti hidup yang baik sekiranya ada strategi pengurusan diabetes serta pesakit mengamalkan gaya hidup yang sihat.
Di sini, penulis ingin berkongsi beberapa tip tentang pengurusan penyakit diabetes supaya dapat menjaga kesihatan dengan lebih baik bagi menikmati kehidupan yang memuaskan.
Tabiat sihat ini harus diterapkan dalam kehidupan seharian sama ada anda pesakit diabetes atau tidak, untuk mengekalkan tahap glukosa yang sihat.
Jangan makan terlampau banyak!
Mengawal saiz hidangan adalah sangat penting. Kempen Suku Suku Separuh anjuran Kementerian Kesihatan Malaysia menyediakan garis panduan porsi makanan yang sihat dan bersesuaian.
Separuh dari pinggan hidangan haruslah terdiri dari serat iaitu sayur-sayuran dan buah-buahan, suku untuk protein dan suku terakhir untuk karbohidrat.
Motivasikan diri untuk bersenam
Cuma 30 minit sehari, lima kali seminggu, sudah mencukupi untuk mengawal tahap gula dalam darah. Sebenarnya senaman adalah satu cara untuk mengelak diri daripada penyakit diabetes.
Pantau kandungan gula dalam darah
Pesakit diabetes harus sentiasa memantau tahap gula dalam darah walaupun di rumah
Sebelum makan, tahap gula yang biasa sepatutnya 4.4 hingga 7 mmol/L. Selepas makan pula, tahap glukosa harus berada di antara 4.4 dan 8.5mmol/L. Tahap gula yang rendah boleh menyebabkan rasa menggigil, pening, lapar, berpeluh dan keliru.
Apabila pesakit mengalami mana-mana simptom di atas, tahap gula mesti diperiksa serta-merta.
Kurangkan minum air perisa manis
Seperti yang diketengahkan oleh kajian NHMS 2019, minuman manis ialah punca nombor satu mengapa kandungan gula tinggi di kalangan rakyat Malaysia. Biasakan diri untuk meminum air kosong untuk menghilangkan dahaga.
Walaupun buah-buahan digalakkan kerana mengandungi serat dan vitamin tetapi jika anda pesakit diabetes, hati-hati supaya tidak makan terlalu banyak buah-buahan terutamanya yang sangat manis seperti pisang, mangga dan anggur.
Ini termasuk jus dan versi buah kering/terhidrat.
Jangan ‘skip’ makan ubat diabetes!
Terdapat juga pesakit diabetes yang memerlukan ubat oral atau suntikan insulin. Mereka yang dirawat dengan insulin mesti mengikut jadual suntikan dengan teliti kerana bukan semua insulin sama.
Ada insulin yang harus disuntik dua kali sehari sahaja. Ada pula yang memerlukan suntikan tiga sehari. Tambahan lagi, ada juga yang memerlukan insulin sebelum tidur sahaja.
Ada pula pesakit yang tidak konsisten pengambilan ubatnya, atau tidak menjaga jadual ubat dengan betul. Mereka mungkin berasa sihat tetapi pengambilan ubat mesti diteruskan; mengikut jadual dan arahan doktor.
Komplikasi diabetes jejaskan fungsi organ badan
Amat penting untuk pesakit diabetes memahami bahawa diabetes boleh menyebabkan komplikasi dalam badan yang melibatkan penglihatan, jantung dan buah pinggang.
Komplikasi yang paling sering berlaku ialah diabetik neuropati iaitu rasa kebas di kaki atau/dan tangan. Ini menyebabkan pesakit cenderung kepada kecederaan.
Luka di kaki dan batu dalam kasut?
Pesakit diabetes harus memeriksa kaki mereka untuk sebarang luka-luka. Jika ada sebarang luka, dapatkan rawatan segera.
Sebelum memakai kasut, periksa dulu sekiranya ada batu kecil di dalam kasut yang boleh melukakan tapak kaki anda. Elakkan dari memakai kasut yang terlalu ketat.
Jangan pula rendam kaki dalam air panas apabila kaki terasa kebas kerana kaki kebas pun boleh melecur tanpa anda sedari kerana tiada rasa sakit.
Semua tip ini menunjukkan bahawa diabetes boleh ditangani dengan gaya hidup sihat dan beberapa perubahan dalam tabiat yang boleh menjauhkan pesakit daripada keadaan penyakit yang lebih teruk.
Pesakit juga harus terus dapatkan pemeriksaan doktor serta saringan kesihatan untuk memantau sebarang risiko komplikasi diabetes. Selain itu, Insya-Allah, pesakit diabetes dapat menjalani kehidupan yang baik dan bermutu.
Artikel ini disiarkan oleh Getaran, 28 November 2021.
Share:
Was this article helpful?
Share:
Was this article helpful?
Health Packages
Elevate your health with tailored health packages at Columbia Asia Hospital. Take charge of your health journey today.