Dalam pandemik Covid-19 yang kita lalui sekarang ini, ada penyakit berjangkit lain yang juga berbahaya. Salah satunya ialah tuberculosis, penyakit yang lebih dikenali dengan nama penyakit tibi. Tahukah anda bahawa sebab kematian tertinggi di dunia akibat penyakit berjangkit ialah penyakit tibi? Mungkin ada yang memikirkan bahawa tibi sudah tidak ada lagi di zaman ini kerana vaksin yang sedia ada. Jadi bagaimana ini boleh terjadi?
Menurut World Health Organisation, pada tahun 2014, dianggarkan ada sebanyak 8.6 juta kes Tibi yang telah mengakibatkan 1.5 juta kematian.
Seperti virus Covid-19, jangkitan bakteria penyakit Tibi adalah melalui udara. Apabila pesakit Tibi bersin, bercakap atau batuk, kuman Tibi akan tersebar ke udara sekeliling. Seseorang yang berdekatan dengan pesakit tersebut akan dijangkiti apabila berkongsi ruang udara yang mengandungi bakteria Tibi. Bakteria ini boleh melekat di paru-paru dan mula merebak dari situ. Ia boleh masuk ke dalam darah dan merebak ke lain-lain bahagian badan.
Tanda-tanda tibi ialah batuk lebih dari tiga minggu, batuk yang diiringi kahak berdarah, sakit dada atau rasa sakit ketika bernafas atau batuk, berat badan menurun dengan tidak sengaja, keletihan yang amat sangat, demam, basah berpeluh di waktu malam dan kurang selera makan.
Limabelas sehingga 20 peratus penyakit tibi ini boleh menjejaskan bahagian tubuh anda termasuklah buah pinggang, tulang belakang, perut dan otak. Apabila tibi berlaku di luar kawasan paru-paru, pesakit biasanya akan berasa sakit di kawasan tersebut. Seterusnya, organ tersebut akan menunjukkan tanda-tanda tibi. Contohnya, tibi di perut akan menyebabkan cirit-birit berterusan sementara tibi di buah pinggang akan menyebabkan darah dalam air kencing.
Jika kemungkinan seseorang itu dijangkiti tibi atau bergaul dengan pesakit tibi, pergi berjumpa doktor atau jabatan kesihatan untuk diuji. Terdapat dua jenis ujian untuk mengesan tibi; melalui kulit dan melalui darah. Yang paling sering digunakan ialah ujian kulit. Bahan ujian tuberculin disuntik di bawah kulit. Dalam tempoh dua atau tiga hari, anda akan diuji lagi untuk melihat tindakbalas. Kadang-kadang ujian darah dijalankan untuk mengesan kuman Tibi. Ujian ini mengukur bagaimana imuniti seseorang itu bertindakbalas dengan kuman yang menyebabkan Tibi.
Diagnosis pulmonari tibi boleh disimpulkan apabila pesakit memaparkan tanda-tanda klinikal yang khusus, perubahan x-ray dada yang klasik dan calitan Acid-Fast Bacili (AFB) kahak positif (kahak yang dikeluarkan dari bahagian dalam paru-paru) untuk mengesan Tibi
Secara umumnya, pakar perubatan akan mengumpulkan contoh kahak selama tiga hari berturut-turut untuk membuat calitan AFB. Cara ini akan menunjukkan kadar kesan Tibi dalam lingkungan 70 peratus berdasarkan standard rujukan kultur penyakit Tibi. Untuk ketahui jika seseorang itu ada penyakit tibi, ujian-ujian lain turut diperlukan, seperti X-ray dada dan contoh kahak untuk dibuat kultur kuman Tibi.
Jika seseorang itu menghidap penyakit tibi, beliau harus dapatkan rawatan dengan segera. Mereka juga mesti tahu bagaimana mengambil ubatan dengan betul dan habiskan ubatan mengikut arahan doktor.
Umumnya, rawatan ini melibatkan empat jenis ubat untuk dihabiskan dalam masa enam bulan. Pesakit Tibi mesti prihatin bahawa jika dia berhenti mengambil ubat, dia mungkin akan jatuh sakit lagi. Sekiranya mereka tidak makan ubat dengan cara yang betul, kuman yang masih bertahan akan menjadi lali kepada ubat atau payah untuk di rawat di masa hadapan. Tambah lagi, mereka mestilah pergi ke setiap temujanji doktor. Mereka juga mesti prihatin tentang orang lain supaya penyakit ini tidak berjangkit ke orang lain, apabila rawatan baru bermula dalam beberapa minggu atau apabila doktor sahkan yang pesakit tidak lagi dalam fasa berjangkit asalkan mereka menjaga adab batuk dan respirasi yang bersih.
Adab batuk maksudnya menutup mulut anda semasa batuk atau bersin dengan menggunakan tisu. Masukkan tisu terpakai ke dalam beg plastik, ikat ketat dan buang ke dalam tong sampah. Sekiranya anda tidak mempunyai tisu, gunakan lengan baju atau siku apabila anda hendak bersin atau batuk. Jangan sekali-kali batuk ke dalam tangan sendiri. Selepas batuk atau bersin, cuci tangan anda dengan bersih.
Pesakit tibi haruslah memakai topeng muka di kala jangkitan paling tinggi kerana ia akan mengurangkan risiko bakteria tibi (Mycobacterium tuberculosis) dari berpindah kepada orang lain.
Topeng muka memainkan peranan penting dalam memerangkap zarah yang lembab berdekatan mulut dan hidung seseorang, langsung mengelakkan kuman dari terlepas ke udara.
Pesakit tibi dinasihatkan untuk tidur berasingan di dalam sebuah bilik yang asing dengan kitaran udara yang sihat. Jangan menggunakan kenderaan awam, duduk di rumah selepas pulang dari pejabat/sekolah atau sebarang tempat awam di mana ramai berkumpul. Kurangkan berinteraksi atau aktiviti sosial. Pasang kipas atau buka tingkap supaya angin boleh masuk
Ada pepatah berkata, baiklah sesuatu itu dijauhkan dari dirawat. Langkah pertama ialah menghentikan jangkitan tibi dari merebak. Selepas itu baharulah proses menyembuhkannya menggunakan rawatan ubat. Dengan penjagaan tibi yang baik dan berkesan, risiko jangkitan berkurangan.
Juga penting dalam rawatan penyakit tibi ialah vaksin Bacillus Calmette-Guerin atau lebih dikenali sebagai vaksin BCG. Lebih 80 peratus bayi dan kanak-kanak diinokulasi dengan vaksin BCG di negara yang ada program imunisasi kanak-kanak. Walaupun terbukti vaksin ini dapat melindungi kanak-kanak dari jangkitan tibi serta jangkitan tibi di lain-lain bahagian badan, ia tidak dapat melindungi mereka yang dewasa dari penularan kuman tibi ke organ-organ lain.
Kita juga harus memastikan setiap individu yang tubuhnya lemah dan menghadapi kesukaran melawan bakteria, untuk menjauhkan diri dari pesakit tibi. Mereka yang berisiko ini termasuk mereka yang ada jangkitan HIV, mereka yang mengambil dadah menerusi suntikan, bayi dan kanak-kanak kecil, warga emas, pesakit kencing manis, pesakit pelbagai jenis kanser dan mereka yang mempunyai berat badan yang rendah.
Sekiranya anda dijangkiti tibi dan tidak mendapatkan rawatan, komplikasi seperti kerosakan fungsi paru-paru, penularan bakteria ke lain-lain bahagian badan yang menyebabkan sakit tulang, meningitis dan kepincangan buah pinggang atau hati, boleh berlaku. Malahan, maut juga boleh berlaku.
Tibi sebenarnya boleh dijauhkan dan boleh dirawat. Dengan meningkatkan kesedaran orangramai tentang pengesanan awal penyakit tibi serta pesakit yang berdisiplin dalam mengikuti nasihat dan rawatan doktor, tidak mustahil untuk komuniti maju ke arah era tanpa tibi.
Share:
Was this article helpful?
Articles and Video
Learn more about Internal Medicine And Gastroenterology,hepatology in Columbia Asia
Learn MoreShare:
Was this article helpful?
Health Packages
Elevate your health with tailored health packages at Columbia Asia Hospital. Take charge of your health journey today.