21 November 2017
•3 minute read
Rawatan Tak Sepatutnya Boleh Jadi Punca
Tidak tahu hamil sehingga usia kandungan mencecah tujuh bulan kedengarannya agak pelik. Ini kerana mustahil si ibu tidak merasai pergerakan bayi atau pertambahan berat badan secara mendadak sedangkan dia pernah melalui kehamilan sebelum ini. Tanda kehamilan walaupun bukan semua mengalami alahan biasanya akan ditunjukkan namun kurang disedari wanita.
Menjelaskan lebih lanjut, menurut Perunding Obstetrik & Ginekologi Hospital Columbia Asia Setapak Dr Sharmina Kamal Shamsul Kamal, ada beberapa faktor yang menyebabkan wanita tidak menyedari mereka hamil antaranya haid tidak teratur. Kebiasaannya golongan ini tidak datang bulan dalam tempoh yang lama seperti dua hingga empat bulan.
“Apabila haid tidak teratur mereka biasanya tidak ambil kisah mengenai sebarang tanda kehamilan kerana beranggapan ia berpunca daripada menyusukan bayi, baru saja melahirkan anak atau mengalami masalah kesihatan seperti PCOS. Simptom kehamilan juga tidak dirasai dan ini menguatkan lagi kata hati yang mereka tidak mengandung,” katanya.
Katanya, pengesanan kehamilan yang lewat walaupun tidak mendatangkan sebarang gangguan kepada ibu, perlu diambil perhatian terutama wanita yang mempunyai masalah kesihatan seperti penyakit jantung, kencing manis atau darah tinggi kerana ia bukan saja memberi kesan kepada ibu tetapi bayi dalam kandungan.
Ibu juga mungkin tidak sedar mereka mengambil ubat-ubatan atau rawatan yang tak sepatutnya seperti imbasan sinar-X dan tidak menjalani rutin pemeriksaan bulanan secara berkala. Namun pengambilan ubat-ubatan tidak mendatangkan sebarang masalah sekiranya ibu mengamalkan pemakanan seimbang.
“Bagi ibu berusia 40 tahun ke atas masalah akan timbul sekiranya ujian imbasan teliti dilakukan lewat bagi mengetahui sebarang keganjilan terutama penyakit genetik. Ubat-ubatan untuk penghidap diabetes juga lambat diberikan yang akan memberi kesan kepada ibu dan bayi yang dikandung,” jelasnya.
AWASI TANDA HAMIL
Bagi yang pertama kali hamil, mungkin ramai tidak mengalami sebarang simptom awal kehamilan terutama golongan muda yang aktif. Sesetengah pula tidak perasan sebarang tanda kehamilan sehinggalah kandungan mencecah beberapa bulan.
Bagaimanapun, jelas Dr Sharmina, ada beberapa simptom awal kehamilan yang mungkin dirasai antaranya:
- Perubahan pada payudara – Ia disebabkan perubahan hormon pada awal kehamilan. Ia membuatkan payudara terasa lebih padat, sensitif dan tegang. Puting payudara pula kelihatan sedikit menonjol dan berwarna lebih gelap serta pembuluh darah yang nampak lebih ketara pada permukaan kulit payudara.
- Sering membuang air kecil – Pada awal kehamilan wanita akan selalu membuang air kecil terutama pada waktu malam. Malah semakin hari keinginan buang air kecil lebih meningkat disebabkan oleh pembesaran rahim yang menekan bahagian pundi kencing.
- Merasa sangat letih – Ramai wanita hamil mengalaminya pada awal kehamilan sehingga memasuki tiga bulan pertama. Keadaan ini disebabkan peningkatan kadar progesteron dan perubahan pada pengaliran darah, degupan jantung dan metabolisme tubuh.
- Mual dan muntah – Walaupun tidak semua wanita merasainya namun simptom ini berlaku pada usia kehamilan enam minggu. Ramai juga yang mengalaminya lebih awal. Namun ia akan hilang selepas memasuki usia kehamilan mencecah 12 hingga 16 minggu. Muntah dan loya sering berlaku pada waktu pagi disebabkan asid yang terbentuk ketika tidur.
- Sensitif terhadap bau – Mual yang dialami pada awal kehamilan disebabkan oleh deria bau yang menjadi lebih sensitif terhadap bau-bauan tertentu seperti minyak wangi, masakan atau beraroma negatif seperti asap rokok. Ada wanita langsung tidak boleh menghidu bau makanan yang digoreng atau nasi yang sedang dimasak. Mereka akan muntah, loya dan pening.
- Hilang selera makan atau lebih berselera – Peningkatan kadar hormon dan kadar sensitiviti terhadap bau-bauan akan membuat wanita kurang berselera untuk makan. Namun keadaan ini berbeza bagi wanita yang langsung tiada alahan kerana mereka akan lebih berselera dan makan dalam kadar yang lebih.
- Lebih beremosi yang berpunca daripada perubahan hormon – Biasanya mereka mudah terasa tanpa alasan yang jelas.
- Kerap sakit kepala disebabkan penurunan tekanan darah dan penyempitan pembuluh darah.
- Tompok darah menerusi vagina. Ia menjadi tanda penempelan sel telur pada dinding rahim.
- Sesetengah wanita mengalami rasa tegang pada perut sebagai tanda awal kehamilan. Ini berlaku disebabkan proses implantasi pada rahim yang berlaku di antara lapan hingga 10 hari selepas ovulasi atau sekitar empat hingga enam hari sebelum haid berikutnya. Ramai wanita keliru dengan rasa kesakitan pada perut ini kerana menganggap ia sebagai senggugut kerana rasa yang hampir sama.
LAKUKAN UJIAN
Sekiranya anda mempunyai semua tanda di atas ditambah pula dengan kelewatan haid selama seminggu, anda boleh membuat pemeriksaan sendiri di rumah. Jika garisan biru kelihatan dalam kotak alat penguji, ia menandakan anda akan bergelar seorang ibu.
Langkah seterusnya buatlah temu janji dengan doktor bagi memastikan kandungan berada di dalam rahim dan menilai usia kandungan anda.
Bagi wanita yang mempunyai alahan teruk mereka seharusnya makan dengan lebih kerap namun dalam kuantiti sedikit. Ini bagi mengelak perut terlalu penuh atau kosong. Jangan terlalu memaksa untuk makan sebaliknya makan apa saja yang diinginkan walaupun hanya biskut bersama secawan coklat panas. Minum banyak air bagi mengelak kekeringan dan amalkan amalan hidup sihat dengan kekal aktif dan banyak bergerak.
“Bagi mereka yang mempunyai alahan yang teruk doktor akan memberikan ubat tahan muntah. Anda juga akan dimasukkan ke wad bagi pemantauan selanjutnya,” katanya yang menasihati wanita hamil agar menjaga pemakanan dengan mengambil makanan kaya protein dan vitamin serta mengurangkan gula, garam dan minyak.
Artikel ini disiarkan oleh myMetro – 16 November 2017
Share:
Was this article helpful?
21 November 2017
•3 minute read
Rawatan Tak Sepatutnya Boleh Jadi Punca
Articles and Video
Learn more about in Columbia Asia
Learn MoreShare:
Was this article helpful?
Health Packages
Elevate your health with tailored health packages at Columbia Asia Hospital. Take charge of your health journey today.