Skip to content

Awasi FAST, Tanda-Tanda Kena Strok

28 May 2024

2 minute read

Awasi FAST, Tanda-Tanda Kena Strok

Mutakhir ini, angin ahmar atau strok menjadi antara penyakit yang sering menyerang masyarakat di negara ini.

Masalah ini sesuatu yang berbahaya kerana bukan hanya boleh menyebabkan kecacatan kekal, malah ia juga mengundang maut.

Pakar Perubatan Dalaman dan Pakar Neurologi Columbia Asia Hospital Klang, Dr. Hasnur Zaman Hashim berkata, strok adalah satu keadaan di mana fungsi otak pesakit terjejas secara tiba-tiba dan berlarutan sehingga melebihi 24 jam yang disebabkan oleh masalah pembuluh darah.

Menurut Dr. Hasnur Zaman, faktor risiko yang kebiasaannya boleh menyebabkan seseorang mengalami strok adalah seperti darah tinggi, tahap kolesterol yang tinggi, kencing manis dan mempunyai keluarga terdekat yang mengalami strok.

“Akan tetapi, ada juga masalah strok yang berpunca daripada jantung seperti denyutan jantung yang tidak sekata ataupun atrial fibrillation serta darah beku dari dalam jantung yang pergi ke pembuluh darah otak.

“Ada juga kes kolesterol yang terkumpul di pembuluh darah leher dan pergi ke pembuluh darah otak seterusnya tersangkut atau tersumbat di situ,” katanya.

Jelasnya, tekanan darah yang tinggi, tahap kolesterol dan kencing manis yang tidak terkawal menyebabkan pembuluh darah otak rosak dan keras seterusnya tersumbat lalu berlakulah strok.

Contoh lainnya adalah apabila tekanan darah seseorang itu terlalu tinggi yang berisiko menyebabkan pembuluh darah pecah dan berlakunya pendarahan.

Antara gejala strok yang mudah dilihat adalah face di mana muka senget sebelah, arms iaitu kelemahan pada tangan dan kaki. Selain itu, gejala lain termasuklah speech iaitu susah bercakap dan time iaitu masa untuk menghubungi ambulans.

Oleh itu, singkatan huruf FAST (face, arms, speech, time) ini adalah untuk membantu orang awam mengenal pasti pesakit strok dan membawa pesakit ini ke hospital dengan segera.

Secara umumnya, gejala pesakit strok bergantung kepada bahagian otak yang tersumbat atau berlaku pendarahan.

Mengulas lanjut, Dr. Hasnur Zaman berkata, strok terbahagi kepada dua jenis iaitu ischemic stroke dan hemorrhagic stroke.

“Pembuluh darah tersumbat yang menyebabkan oksigen tidak sampai ke bahagian otak tertentu adalah ischemic stroke.

“Sementara itu, pembuluh darah pecah yang menyebabkan pendarahan adalah hemorrhagic stroke,” terang Dr. Hasnur Zaman.

Tambahnya, secara keseluruhannya, kedua-dua jenis strok ini akan menyebabkan fungsi otak terjejas dan ada kalanya boleh membawa maut.

Dalam pada itu, rawatan untuk strok sebenarnya bermula sebelum seseorang itu berhadapan dengan masalah ini lagi iaitu dengan merawat faktor-faktor risiko.

Dr. Hasnur Zaman menjelaskan, risiko-risiko strok seperti darah tinggi, kolesterol tinggi dan penyakit kencing manis haruslah diawasi sebaik mungkin.

Menurutnya, tidak lupa juga, gaya hidup sihat seperti kerap bersenam, menjaga pemakanan dan tidak merokok mestilah dilakukan mereka yang menghidap penyakit-penyakit ini.

“Seterusnya, rawatan khusus di hospital pula bergantung kepada jenis strok, sama ada strok tersumbat atau strok pendarahan.

“Jika strok pendarahan yang berlaku akibat tekanan darah yang tinggi, tekanan darah mesti diturunkan secepat mungkin.

“Namun, jika pendarahan yang besar berlaku, pembedahan untuk membuang darah beku perlu dilakukan,” ulasnya.

Terangnya, bagi strok tersumbat atau ischemic stroke, ubat cair darah yang juga dikenali sebagai anticoagulant perlu diberikan secepat mungkin.

Proses memberi anticoagulant ini dipanggil thrombolysis. Jika ubat anticoagulant dapat diberikan dalam tempoh empat hingga lima jam selepas terkena strok, peluang untuk pesakit pulih sepenuhnya adalah tinggi.

Sebaliknya, jika pesakit tidak datang ke hospital dengan segera, ubat antiplatelet akan diberi. Namun, kemungkinan pesakit dapat sembuh sepenuhnya adalah rendah.

Selepas strok, proses pemulihan juga amat penting. Rehabilitasi dan fisioterapi perlu dipantau agar pesakit dapat melakukan fungsi harian seperti sediakala.

Dr. Hasnur Zaman menitip pesan, untuk mengelak daripada serangan strok amalkan gaya hidup sihat, menjauhi faktor risiko seperti merokok, darah tinggi, penyakit kencing manis dan sebagainya adalah amat penting.

“Masyarakat juga perlu tahu tanda-tanda strok (FAST) dan bawa pesakit ke hospital secepat mungkin untuk diberikan rawatan.

“Hal ini kerana, kemungkinan untuk pesakit pulih, malah pulih sepenuhnya adalah amat tinggi jika rawatan dapat diberi dalam kadar yang segera,” katanya.

Artikel ini disiarkan oleh Kosmo Online, 26 April 2024.

Was this article helpful?

28 May 2024

2 minute read

Awasi FAST, Tanda-Tanda Kena Strok

Dr. Hasnur Zaman Bin Hashim

Internal Medicine And Neurology

Learn more about Internal Medicine And Neurology in Columbia Asia

Learn More

Need further assistance?

Speak directly or contact Columbia Asia hospitals near you.

Contact Us

Ask the expert

Lorem ipsum dolor sit amet, consectetuer dipiscing elit.

Ask Now

Was this article helpful?

Subscribe to our newsletter for more Health Care Tips.

This field is for validation purposes and should be left unchanged.

Follow us for latest Health Tips

The Nearest Emergency Contact

Klang

Other emergency contacts

View now
Klang

Select Your Preferred Hospital