30 May 2023
•4 minute read
Ovulasi Dan Keturunan – Dua Faktor Yang Jadi Penyebab Utama Risiko Kanser Ovari
Pada tahun 2018, seorang wanita di Connecticut, Amerika Syarikat, dibedah untuk mengeluarkan ketumbuhan seberat 60 kg dari ovarinya! Sebelum pembedahan, simptomnya cuma peningkatan berat badan yang mendadak.
Walaupun ketumbuhan sangat besar, pesakit tidak langsung menyedari ada sesuatu yang asing sedang tumbuh di dalam badannya. Syukur, ketumbuhan itu bukan kanser dan pesakit pulih sepenuhnya.
Bagaimana jika ketumbuhan itu kanser?
Ovari ialah organ reproduktif wanita yang menghasilkan telur serta hormon wanita iaitu estrogen dan progtesterone. Kanser ovari adalah kanser yang terhasil dari sel-sel tidak normal yang tumbuh dalam ovari. Ketumbuhan kanser ovari mungkin tidak seberat 60 kg tetapi ia juga membesar di dalam badan secara perlahan-lahan, kadang-kadang mengambil masa bertahun-tahun.
Kanser ovari biasanya tidak mempunyai sebarang gejala yang spesifik pada peringkat awal. Selalunya simptom kanser ovari ini timbul di peringkat akhir. Disebabkan itu, kanser ovari digelar silent killer iaitu kanser yang membunuh secara senyap-senyap.
Kanser ovari juga lambat dapat dikesan kerana kedudukan organ itu yang letaknya jauh di dalam pelvis berbanding pangkal rahim (serviks) dan juga endometrium (dinding rahim).
Umumnya, ketumbuhan dalam ovari bukanlah kanser terutama di kalangan wanita dalam usia reproduktif. Untuk kanser ovari pula, kebanyakannya merupakan kanser yang timbul daripada permukaan ovari (epithelial cancer) dan sebahagian kecil berasal daripada sel-sel benih telur (germ cell cancer) yang lebih banyak berlaku di kalangan mereka yang berusia 30 tahun ke bawah.
Faktor yang menentukan risiko
Punca sebenar kanser ovari masih belum diketahui, tetapi ada beberapa faktor yang boleh meningkatkan risiko seseorang itu mendapat kanser ini.
Risiko kanser ovari terbahagi kepada dua faktor utama iaitu ovulasi dan keturunan. Risiko ini lebih tinggi di kalangan mereka yang datang haid pada awal usia, menopaus di lewat usia, bersalin pada usia lebih dari 35 tahun, pengambilan androgen atau ubat fertiliti serta obes dengan BMI sekurang-kurangnya 30 kg/m2.
Risiko kanser ovari juga tinggi di kalangan wanita menopaus yang menggunakan monoterapi estrogen selama lebih lima hingga 10 tahun.
Wanita yang mengandung, bersalin buat kali pertama dan menyusu badan pada usia tidak melebihi 25 tahun serta wanita yang mengambil pil cegah hamil sekurang-kurangnya selama lima tahun mempunyai risiko kanser ovari yang rendah iaitu sebanyak 30 hingga 60 peratus kurang dari mereka yang berisiko tinggi.
Kaitan dengan kanser lain
Sebanyak 15 peratus dari kes kanser ovari adalah disebabkan faktor genetik. Jika ahli keluarga yang rapat seperti ibu, adik-beradik atau anak mendapat kanser ovari sebelum usia 50, risiko untuk mendapat kanser yang sama bertambah sebanyak enam hingga 10 kali ganda.
Mereka yang ada ahli keluarga yang mengidap kanser usus juga mempunyai risiko yang tinggi untuk mendapat kanser ovari. Kaitan kekeluargaan ini disebabkan mutasi genetic seperti BRCA1, BRCA 2 dan yang berkaitan dengan Lynch syndrome. Semakin berumur, semakin tinggi risiko kanser ovari terutamanya apabila mencapai usia 80 ke atas. Risiko juga meningkat sekiranya ada kes kanser payudara dalam keluarga.
Prihatin kunci pencegahan
Tiada jaminan bahawa seseorang wanita itu tidak akan mendapat kanser ovari. Walau bagaimanapun, risikonya boleh dikurangkan dengan mengawasi tanda-tanda kanser.
Sekiranya ramai ahli keluarga yang mendapat kanser, anda disyorkan untuk mendapatkan kaunseling genetik. Kekalkan berat badan, amalkan pemakanan dan gayahidup yang sihat untuk merendahkan lagi risiko kanser ovari.
Seperti juga kanser yang lain, kanser ovari tidak semestinya menunjukkan sebarang gejala di peringkat awal. Di peringkat akhir, simptom yang nyata ialah rasa kembung atau tertekan di bahagian abdomen, rasa sakit di bahagian abdomen atau pelvis, cepat berasa kenyang, penambahan atau pengurangan berat badan yang mendadak dan pendarahan faraj yang tidak normal.
Prosedur untuk diagnosis
Diagnosis kanser ovari biasanya didapati pada peringkat akhir kanser. Walaupun begitu, simptom adalah sangat umum dan kabur. Untuk mendapatkan diagnosis yang lebih tepat, berikut adalah prosedur yang biasa dilakukan:
Ujian pelvis
Ini ialah ujian pertama yang akan dijalankan ke atas pesakit apabila disyaki ada kanser ovari. Secara klinikal melalui pemeriksaan pesakit, doktor akan menjumpai ketumbuhan yang keras di dalam pelvis atau kadang-kadang ketumbuhan berupa sista (cyst) air atau campuran cecair dan ketumbuhan yang keras.
Imbasan Bunyi (Ultrasound)
Penggunaan gelombang bunyi untuk menghasilkan imej organ dalaman termasuk ovari, uterus dan serviks. Saiz ketumbuhan ciri-ciri tertentu dapat membantu doktor untuk mengenalpasti sama ada ketumbuhan itu normal atau tidak.
Ujian darah
Ujian tumor antigen CA 125 boleh dijalankan. Ianya merupakan sejenis protin yang dihasilkan oleh kanser ovari. Malangnya protein CA 125 ini juga dihasilkan juga oleh keadaan lain seperti endometriosis, fibroid serta keadaan radang pada dinding peritoneum. Bezanya adalah pada keadaan kanser ovari bacaannya selalu sangat tinggi kadang-kadang menghampiri atau jauh melebihi 1000 iu.
Pembedahan
Ini merupakan kaedah yang paling tepat untuk membuat diagnosis kanser ovari. Ianya hanya akan dilakukan setelah ujian-ujian di atas dilakukan dan pesakit sudah dipastikan dalam keadaan optimum untuk menjalani pembedahan. Tahap penyakit (staging) akan dibuat semasa pembedahan serta ketumbuhan akan dibuang sebanyak yang mungkin. Ketentuan tahap penyakit (staging) adalah berlandaskan The International Federation of Gynaecology and Obstetrics (FIGO).
Imbasan Tomografi Berkomputer (CT scan)
Ia membantu mengesan kanser di ovari, tiub fallopian dan peritoneum.
Imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI)
Ia mengesan ketumbuhan atau ketumbuhan yang tumbuh semula di bahagian badan yang lain.
Imbasan Tomografi Pancaran Positron (PET scan)
Ini adalah ujian imbasan untuk memeriksa aktiviti tisu dan organ. Imbasan ini menggunakan ubat radioaktif untuk memaparkan keadaan organ sama ada berfungsi dengan baik atau tidak. Kadangkala, imbasan ini boleh mengesan penyakit sebelum ianya kelihatan pada ujian imbasan yang lain.
Melawan kanser ovari
Ketiadaan simptom di peringkat awal kanser ovari menjadi cabaran terbesar dalam sebarang rawatan kanser. Kebanyakan kes dikesan apabila sudah di peringkat akhir. Di peringkat ini, langkah perubatan yang biasa diambil ialah pembedahan.
Pembedahan ‘debulking’
Ini ialah langkah bedah dan dedah serta membuang ketumbuhan kanser yang kelihatan. Pembedahan adalah langkah yang pertama dan paling penting untuk memastikan (confirm) ianya diagnosis, mengetahui tahap penyakit (staging) serta membuang sebanyak mungkin ketumbuhan yang nampak dengan nyata.
Kemoterapi
Gabungan ubat-ubatan yang kuat dengan dos yang tinggi untuk mematikan sel-sel kanser. Pada masa yang sama, mengurangkan kerosakan kepada bahagian tubuh yang lain.
Radioterapi
Sinaran radiasi bertenaga tinggi untuk membunuh sel kanser.
Terapi bersasar
Untuk menghalang enzim poly ADP-ribose polymerase (PARP) dari mengesan DNA yang rosak yang terkandung dalam sel kanser. Perencat PARP ini boleh menghalang sel kanser dari pembaikpulihan.
Ringkasan
Untuk mengurangkan risiko diri dari mendapat kanser ovari, pastikan anda menjaga kesihatan dengan teliti dari segi berat badan, aktiviti seharian serta tabiat pemakanan. Banyakkan memakan sayur serta buah-buahan. Prihatin dengan kesihatan diri sendiri, sejarah kesihatan keluarga serta faktor-faktor yang mempengaruhi risiko kanser.
Share:
Was this article helpful?
30 May 2023
•4 minute read
Ovulasi Dan Keturunan – Dua Faktor Yang Jadi Penyebab Utama Risiko Kanser Ovari
Articles and Video
Learn more about Obstetrics And Gynecology in Columbia Asia
Learn MoreShare:
Was this article helpful?
Health Packages
Elevate your health with tailored health packages at Columbia Asia Hospital. Take charge of your health journey today.