03 December 2011
•6 minute read
Penyakit Apendiks Akut (Acute Appendicitis)
Apendiks merupakan satu organ seakan kantung yang terkeluar dari kolon di bahagian bawah dan kanan abdomen anda. Walaupun fungsi struktur organ ini tidak begitu dikenalpasti tetapi ini tidak bermaksud organ tersebut tidak akan mendatangkan masalah. Apendisitis (= radang Apendiks) merupakan satu keadaan di mana apendiks itu akan membengkak dan dipenuhi nanah. Adalah dianggarkan lebihkurang 2% dari mana-mana kalangan masyarakat akan mengalami penyakit radang apendiks dalam jangka hayat mereka
Simptom utama apendisitis adalah rasa sakit yang bermula di bahagian perut (tengah abdomen) dan beralih ke bahagian bawah kanan abdomen. Rasa sakit apendisitis selalunya menjadi bertambah sakit dalam tempoh 6 – 12 jam dan lama-kelamaan ianya menjadi lebih teruk.
Sesiapa sahaja boleh mengalami apendisitis tetapi lazimnya ia terjadi kepada mereka yang berumur di antara 10 – 30 tahun. Apendisitis merupakan salah satu sebab utama surgeri di bahagian abdomen kanak-kanak dilakukan.
Rawatan yang biasa dilakukan untuk apendiks ialah dengan mengeluarkan apendiks tersebut. Kaedah ini agak ringkas dan pesakit boleh pulih dengan segera. Tetapi jika apendiks telah pecah, surgeri yang akan dilakukan agak rumit dan pesakit mungkin akan mengambil masa yang agak lama untuk sembuh. Apendisitis yang telah pecah tetapi tidak diberi rawatan dengan segera akan mengakibatkan komplikasi yang lebih serius seperti jangkitan kuman di dalam darah. Dalam beberapa kes yang jarang berlaku, apendisitis yang melibatkan apendiks yang telah pecah boleh mengakibatkan maut.
Tanda-tanda dan Simptom
Apendisitis boleh mengakibatkan pelbagai simptom yang boleh berubah pada bila-bila masa sahaja. Simptom awal yang biasa dialami ialah rasa sakit di sekitar kawasan pusat yang akan bergerak ke bahagian bawah kanan abdomen. Rasa kesakitan itu akan menjadi lebih teruk apabila inflamasi di apendiks itu merebak ke tisu-tisu yang berhampiran, lebih-lebih lagi ke bahagian dalam lapisan (peritoneum) abdomen anda.
Lama-kelamaan, rasa sakit itu akan bergerak ke bahagian kanan bawah abdomen anda – kawasan ini dikenali sebagai poin McBurney. Bahagian ini terletak kira-kira di bahagian pertengahan di antara perut dan bahagian atas tulang pelvik kanan anda. Walaubagaimanapun, bagi ramai pesakit yang mengalami apendisitis, bahagian yang sakit mungkin berbeza bergantung kepada umur dan posisi apendiks tersebut, lebih-lebih lagi kanak-kanak dan juga orang tua yang mungkin mengalami sakit apendisitis di tempat yang berlainan dari yang disebut di atas.
Jika anda tekan secara perlahan di kawasan yang sakit itu, ia akan terasa lembut. Tetapi, apabila anda lepaskan tekanan itu, lebih-lebih lagi jika anda melakukannya secara tiba-tiba, rasa sakit apendiks itu akan menjadi lebih teruk (rebound tenderness). Ia juga akan menjadi lebih teruk jika anda batuk, berjalan atau melakukan sebarang pergerakan. Tambahan pula jika apendiks yang membengkak itu bersentuhan dengan peritoneum – lapisan membran selembut sutera yang meliputi dinding abdomen dan usus. Namun demikian, jika anda membaringkan tubuh anda di sisi dan menarik lutut ke dada anda, rasa sakit yang dialami akan berkurangan.
Selain daripada rasa sakit yang dialami, anda mungkin akan mengalami satu atau lebih daripada tanda-tanda dan simptom-simptom berikut:
Â
- rasa mual dan muntah
- hilang selera makan
- demam ringan selepas timbul tanda-tanda dan simptom lain
- sembelit
- tidak boleh mengeluarkan gas/angin (kentut)
- cirit-birit
- bengkak di bahagian abdomen
Punca-punca berlakunya Apendisitis
Setakat ini tiada sebarang penjelasan yang tepat kenapa penyakit apendisitis berlaku. Kadangkala ianya disebabkan halangan yang berlaku apabila terdapat sisa makanan atau ketulan najis yang keras (fecal stone) terperangkap di dalam saluran apendiks anda.
Apendisitis juga mungkin terjadi akibat jangkitan seperti jangkitan virus di dalam usus atau ia mungkin terjadi akibat inflamasi yang lain. Dalam kedua-dua konteks, bakteria akan merebak dengan cepat, menyebabkan apendiks itu membengkak dan dipenuhi nanah. Jika tidak dirawat dengan segera, apendiks anda mungkin akan pecah.
Ujian Penyaringan dan Diagnosis
Rasa sakit dari apendisitis akan berubah dari masa ke semasa, jadi adalah agak sukar untuk mendiagnosiskannya. Tambahan pula, rasa sakit di abdomen mungkin berpunca dari pelbagai masalah kesihatan selain dari apendisitis. Keadaan-keadaan lain yang berkaitan sakit di abdomen yang menyerupai apendisitis termasuk:
Â
- kehamilan ektopik. Rasa sakit di abdomen mungkin berpunca dari kehamilan ektopik (kehamilan di luar rahim)
 - sista ovari. Sista di sebelah kanan ovari mungkin mendatangkan rasa sakit di kawasan yang sama dengan apendisitis.
 - batu karang. Kadangkala, batu karang dari buah pinggang sebelah kanan akan keluar melalui ureter yang terletak di antara buah pinggang ke pundi kencing, dan terperangkap di situ. Ini akan menyebabkan rasa sakit yang seakan apendisitis, lebih-lebih lagi di kalangan orang dewasa.
 - Jangkitan air kencing. Ini kerap berlaku di kalangan kaum wanita.Ianya boleh juga berlaku di kalangan pesakit yang sedang mengalami penyakit batu karang di dalam buah pinggang yang belum dirawat.
 - penyakit Crohn. Keadaan ini yang menyebabkan inflamasi yang kronik pada trek pencernaan, juga seakan apendisitis.
Untuk mendiagnosis apendiks, doktor anda akan memeriksa abdomen anda. Apabila kawasan yang sakit itu ditekan dan dilepaskan dengan tiba-tiba, rasa sakit apendisitis itu akan menjadi lebih teruk lebih-lebih lagi jika peritoneum yang berhampiran membengkak. Doktor anda juga akan memerhatikan tanda-tanda lain termasuk kekakuan yang berlaku di abdomen dan kebarangkalian anda mengeraskan otot abdomen anda apabila tekanan diletakkan ke atas apendiks yang membengkak (guarding). Di samping itu, doktor anda akan menyarankan prosedur-prosedur berikut:
Â
- Ujian darah. Doktor anda akan mengira bilangan darah putih yang tinggi jika terdapat sebarang radang apendiks.
 - Ujian air kencing. Anda mungkin dikehendaki menjalani ujian air kencing untuk memastikan jika terdapat sebarang jangkitan di trek urinari atau batu karang yang mengakibatkan rasa sakit itu. Jika ianya batu karang, sel darah merah akan kelihatan apabila pemeriksaan mikroskopik dijalankan ke atas air kencing si pesakit.
 - Ujian imbasan. Doktor anda mungkin akan menyarankan sinaran-x atau imbasan ultrasound dilakukan ke atas bahagian abdomen anda yang akan mengesahkan tidak terdapat penyakit lain yang menyerupai apendisitis. Imbasan ultrasound yang menggunakan gelombang bunyi berfrekuensi tinggi dan teknologi komputer akan menghasilkan imej organ dalaman anda. Lebih kerap lagi, imbasan tomografi berkomputer (computerised tomography – CT) digunakan untuk mengesahkan sesuatu diagnosis. Imbasan CT merupakan satu ujian imbasan yang menggunakan satu siri sinar-x yang dihasilkan oleh komputer untuk menghasilkan pandangan yang lebih komprehensif terhadap organ dalaman anda berbanding sinaran-x yang konvensional. Ia juga akan membantu mendedahkan sebarang diagnosis yang lain jika apendiks anda bukan merupakan punca sakit yang dialami. Disebabkan imbasan CT akan menghasilkan radiasi, adalah perlu untuk pesakit wanita memastikan dirinya tidak hamil sebelum mengadakan imbasan CT.
Walaupun berbagai-bagai ujian di atas mungkin dilakukan ke atas sesetengah pesakit yang mengalami sakit perut yang sukar dibuat diagnosis, pada umumnya untuk pesakit ynag mengalami radang apendiks, pemeriksaan fizikal oleh pakar bedah adalah yang paling penting untuk membuat diagnosis apendisitis akut. Sungguhpun begitu diagnosis yang dibuat hanyalah sekadar syak yang tinggi apendisitis akut mengikut kebarangkalian klinikal. Memandangkan begitu banyak punca sakit perut yang lain yang boleh menyerupai apendisitis akut, pakar bedah yang yang berpengalaman luas amat jarang untuk memberi jaminan 100% bahawa diagnosis adalah apendisitis akut sebelum pembedahan dijalankan.
Komplikasi
Komplikasi yang lebih serius terhadap apendisitis adalah jangkitan di bahagian lapisan kaviti abdomen anda (peritonitis). Ianya mungkin terjadi jika apendiks anda pecah dan isi kandungan usus dan organisme akan berjangkit masuk ke dalam kaviti itu. Apabila ini terjadi, anda akan rasa lega secara tiba-tiba. Tetapi, sejurus kemudian, seluruh bahagian abdomen anda akan dipenuhi gas dan cecair sebelum ianya mengeras dan terasa sakit apabila disentuh. Anda juga akan berasa sakit di bahagian abdomen tetapi mungkin tidak seteruk rasa sakit apendisitis yang normal. Tambahan pula, anda mungkin tidak boleh mengeluarkan angin (kentut) atau membuang air besar disebabkan inflamasi usus. Lain-lain tanda atau simptom adalah demam, rasa haus yang keterlaluan dan pembuangan air kecil yang amat sedikit.
Peritonitis adalah satu kes kecemasan yang memerlukan rawatan. Jika anda atau anggota keluarga menghidap tanda-tanda jangkitan abdomen, anda dinasihatkan pergi ke wad kecemasan mana-mana hospital atau mana-mana klinikal yang beroperasi 24jam dengan segera. Walaupun dengan mendapatkan rawatan segera, peritonitis boleh menjadi lebih serius.
Kanak-kanak akan lebih cenderung mengalami apendiks yang pecah daripada orang dewasa. Disebabkan kanak-kanak tidak selalunya menghidap simptom-simptom biasa apendisitis, ibubapa mungkin akan lengah untuk mendapatkan rawatan. Atas sebab itu, adalah dinasihatkan agar ibubapa tidak mengambil sikap acuh tak acuh jika anda atau mana-mana anggota keluarga mengalami kesakitan di bahagian abdomen. Walaupun jika anda mengesyaki ‘sakit perut’ itu tidak serius, sila hubungi doktor anda untuk memastikannya.
Adakalanya, jangkitan atau penyerapan kandungan usus akan membentuk lapisan nanah (appendiceal abscess) sekecil biji kacang atau sebesar buah limau. Walau apa pun saiznya, ia memerlukan surgeri sebelum nanah itu menembusi dinding usus itu dan menyebabkan peritonitis.
Rawatan
Jika anda mempunyai apendisitis yang teruk, anda perlu menjalani pembedahan untuk mengeluarkan apendiks tersebut (apendektomi). Pakar bedah anda akan melakukan pembedahan terbuka yang tradisional dengan menggunakan insisi di abdomen (di antara 3 – 7cm) atau melakukan surgeri laparoskopik di mana ia hanya memerlukan beberapa insisi yang kecil di bahagian abdomen (di antara 0.5 – 1cm).
Dalam prosedur laparoskopik, pakar bedah anda akan memasukkan satu laparoskop – tiub senipis pensil yang mempunyai sistem lampu dan kamera video kecil ke dalam abdomen melalui kanula (satu tiub lompang). Prosedur ini hanya memerlukan insisi yang kecil. Video kamera ini akan memberi gambaran di bahagian dalam abdomen anda di monitor video dan pakar bedah anda boleh melakukan surgeri ini dengan lebih jelas. Untuk mengeluarkan apendiks anda, pakar bedah anda akan menggunakan alat kecil yang dimasukkan melalui satu atau dua insisi kecil di abdomen anda.
Secara amnya, surgeri laparoskopik memberi peluang kepada anda untuk sembuh dengan cepat dan tanda parut yang kurang. Tetapi, jika apendiks anda telah pecah dan jangkitan telah merebak melampaui kawasan apendiks, atau jika terdapat nanah, anda memerlukan insisi yang lebih besar untuk membolehkan pakar bedah anda membersihkan kaviti abdomen dengan lebih teliti. Anda akan menerima antiobiotiks secara intravena dan perlu tinggal di hospital beberapa hari untuk proses pemulihan.
Kos pembedahan biasa apendiks adalah sekitar RM 4,000. Tetapi kadangkala pesakit terpaksa menjalani pembedahan kecemasan pada waktu luar pejabat yang akan menelan kos di sekitar RM 5,000-6,000 di sesetengah hospital. Kos pembedahan apendiks juga berbeza-beza jika pembedahan dilakukan secara laparoskopik, pembedahan yang lebih rumit kerana pesakit lebih obes, apendiks yang sudah pecah atau kedudukan apendiks yang di luar kebiasaan. Kos rawatan apendisitis pada keseluruhannya juga boleh berbeza akibat dari ujian-ujian yang terpaka pakar bedah lakukan di dalam proses mendiagnos apendisitis akut.
Share:
Was this article helpful?
03 December 2011
•6 minute read
Penyakit Apendiks Akut (Acute Appendicitis)
Articles and Video
Learn more about General Surgery in Columbia Asia
Learn MoreShare:
Was this article helpful?
Health Packages
Elevate your health with tailored health packages at Columbia Asia Hospital. Take charge of your health journey today.