Skip to content

Telur Salah Satu Punca Keracunan Makanan, Nasihat Daripada Pakar Diet

21 July 2024

5 minute read

Telur Salah Satu Punca Keracunan Makanan, Nasihat Daripada Pakar Diet

Tahukah anda bahawa telur boleh menjadi punca keracunan makanan jika tidak dikendalikan dengan betul? Baru-baru ini, masyarakat Malaysia telah dikejutkan dengan kes keracunan makanan yang melibatkan dua kematian. Mengikut suatu laporan berita, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor mengesyaki salah satu punca kes ini ialah telur goreng yang disediakan semasa acara sekolah.

Oleh itu, dalam artikel ini, Pakar Diet dari Columbia Asia Hospital – Setapak, Siti Sarah Juzup berkongsi tentang beberapa cara terbaik untuk memastikan makanan terutamanya telur, adalah selamat dan bebas risiko keracunan.

Kekalkan Kepanasan Makanan

Keracunan makanan boleh disebabkan oleh beberapa faktor. Antara faktor utama adalah makanan yang dibiarkan terlalu lama selepas dimasak.

“Amalan terbaik adalah memakan makanan dalam tempoh dua jam selepas dimasak bagi mengelakkan pembiakan bakteria atau mikroorganisma. Pastikan anda membuang makanan yang telah lama dimasak dengan serta-merta kerana bakteria boleh membiak di antara suhu 5 hingga 60 darjah Celsius,” kata Siti Sarah.

Makanan yang telah dimasak hendaklah sentiasa panas, iaitu lebih daripada 63 darjah Celsius sebelum dihidangkan.

Suhu ini adalah lebih tinggi daripada suhu bilik; seakan suhu air minuman panas yang sedia diminum, atau suhu air panas untuk mandi.

Suhu makanan boleh dikekalkan dengan menggunakan termos makanan untuk makanan berkuah atau sup dan memanaskan semula makanan di atas dapur atau ketuhar gelombang mikro sebelum dihidangkan.

Jika memasak dalam jumlah yang besar, pertimbangkan penggunaan peralatan pemanas seperti chafing dish dan buffet warmer.

Menyimpan Makanan dalam Peti Sejuk

Anda juga boleh menyimpan makanan yang telah dimasak dan cepat rosak di dalam peti sejuk pada suhu di bawah 5 darjah Celsius. Namun, pastikan untuk tidak menyimpan makanan tersebut dalam peti sejuk terlalu lama, iaitu melebihi lima hari.

Makanan berprotein seperti daging, ikan, ayam, dan makanan laut hendaklah disimpan pada suhu -18 darjah celsius untuk memastikan kualitinya terjaga dan menghalang pembiakan bakteria. Suhu ini merupakan suhu umum untuk ruang sejuk beku (freezer).

Makanan lain seperti sayur-sayuran dan buah-buahan perlu disimpan di ruang pendingin (chiller) peti sejuk yang bersuhu sekitar 0 hingga 4 darjah celsius. Menyimpan sayur-sayuran pada suhu ini membantu memastikan kesegarannya tanpa membekukannya, yang boleh merosakkan tekstur dan rasa.

Untuk menyimpan makanan dalam peti sejuk dengan selamat, biarkan makanan yang dimasak sejuk pada suhu bilik terlebih dahulu. Sehubungan dengan itu, jangan isi peti ais terlalu penuh.

Pastikan ada ruang yang cukup dalam peti sejuk untuk udara sejuk beredar, membolehkan makanan sejuk dengan cepat dan sekata. Jika memasak dalam kuantiti besar, bahagikan makanan kepada beberapa bahagian kecil supaya ia lebih mudah sejuk.

Cara Penyediaan Makanan juga Penting

“Satu lagi faktor penting yang perlu diberi perhatian adalah proses penyediaan makanan. Proses ini perlulah dijalankan dengan betul dan teliti dengan memastikan bahan mentah yang digunakan adalah segar dan berkualiti tinggi. Selain itu, adalah digalakkan untuk memakai peralatan perlindungan diri seperti sarung tangan dan penutup rambut.

“Jangan lupa untuk mengasingkan makanan yang telah dimasak dengan makanan mentah dan gunakan bekas kedap udara untuk simpan makanan. Ini untuk mengelakkan pencemaran silang yang boleh menyebabkan risiko kesihatan yang tidak diingini,” sambung Siti Sarah lagi.

Mengelakkan Keracunan Telur

“Untuk memastikan telur kekal bersih semasa disimpan, anda disarankan untuk menyimpan telur pada suhu bilik, seperti dalam bekas khas atau tempat simpan telur. Ini adalah untuk mengelakkan pencemaran silang dengan bahan makanan lain.”

Menurut Siti Sarah, sebelum digunakan, telur perlu dibasuh untuk menghilangkan bakteria dan najis ayam yang mungkin ada pada kulitnya. Penting juga untuk memasak telur pada suhu tinggi, antara 70 hinga 80 darjah celsius, bagi memastikan bakteria mati sepenuhnya.

Untuk mengenal pasti telur yang tidak selamat dimakan atau telah rosak, anda boleh menyemak tarikh pengeluaran yang tertera pada permukaan telur atau bekas telur. Telur yang segar biasanya dijual dalam tempoh seminggu selepas tarikh pengeluaran.

“Ingat, telur yang segar sepatutnya tidak berbau. Jika telur dipecahkan dan mengeluarkan bau busuk, ini menandakan telur telah tercemar dengan bakteria dan tidak sesuai untuk digunakan,” jelas Siti Sarah.

Di samping itu, telur yang retak atau berkulat juga tidak selamat untuk digunakan kerana ia membolehkan bakteria masuk ke dalam isi telur.

Siti Sarah turut mendedahkan cara menguji kesegaran telur dengan meletakkannya dalam bekas berisi air: telur yang segar akan tenggelam ke dasar bekas, manakala telur yang telah rosak akan terapung disebabkan kandungan udara di dalamnya.

Bahaya Telur Mentah atau Separa Masak

“Memakan telur yang tidak dimasak sepenuhnya mampu meningkatkan risiko untuk mengalami penyakit bawaan makanan seperti Salmonellosis,” kata Siti Sarah. “Kandungan telur boleh dijangkiti oleh bakteria Salmonella kerana kulit telur yang nipis membolehkan bakteria ini menembusinya. Bakteria ini turut menghasilkan toksin yang menyerang sel-sel di permukaan usus, seterusnya menyebabkan gejala cirit-birit dan muntah.”

Keracunan ini juga boleh membawa maut kerana ia menyebabkan badan kehilangan banyak air (dehidrasi). Memandangkan bakteria Salmonella dapat dimusnahkan pada suhu tinggi, adalah sangat penting untuk memastikan telur dimasak dengan sempurna. Tidak terkecuali juga, pengambilan telur mentah atau separuh masak sangatlah tidak digalakkan.

Bertindak dengan Cepat Jika Keracunan

Simptom bagi keracunan makanan termasuk demam, berpeluh, loya, muntah-muntah, dan sakit perut. Cirit-birit, sakit kepala, dan keletihan juga merupakan simptom-simptom yang biasa berlaku.

“Apabila disyaki mengalami keracunan makanan, terdapat beberapa langkah penting yang perlu diambil. Pertama, pergi ke klinik atau hospital yang berdekatan dengan segera untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Kedua, pastikan tiada individu lain yang mengambil makanan yang disyaki telah tercemar, untuk mengelakkan penularan lebih lanjut.

“Akhir sekali, simpan makanan yang disyaki tercemar itu untuk diperiksa oleh doktor atau pihak berkuasa yang bertanggungjawab,” ulas Siti Sarah. Tindakan ini dapat membantu mereka mengenal pasti punca sebenar dan mengambil langkah-langkah pencegahan yang sesuai bagi mengelakkan insiden yang serupa berulang pada masa akan datang.

Untuk mengurangkan risiko keracunan makanan, guna sumber air yang bersih dan terawat semasa mencuci bahan mentah. Hal ini kerana, air yang tidak terawat boleh menyebabkan bakteria memasuki makanan yang sedang dibasuh. Sayur-sayuran dan buah-buahan pula perlu dibasuh dengan teliti sebelum dimakan mentah.

Kebersihan Diri ketika Mengendali Makanan

Pengendali makanan perlu menjaga kebersihan diri untuk mengurangkan risiko keracunan makanan. Ini termasuk memastikan kuku sentiasa pendek dan bersih serta mencuci tangan sebelum dan selepas mengendalikan makanan mentah dan memasak.

Di samping itu, pengendali makanan perlu memahami dan mengamalkan cara membasuh tangan yang betul, yang melibatkan tujuh langkah penting seperti yang disyorkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Pengendali makanan harus mengelakkan sebarang perilaku yang boleh mencemari makanan seperti meludah, merasa makanan menggunakan jari, batuk, merokok, serta menyentuh bahagian tubuh badan semasa mengendalikan makanan.

Elakkan juga menyentuh duit kertas semasa mengendalikan makanan kerana kotoran dan kuman yang terdapat padanya boleh mencemari makanan.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan Malaysia turut mewajibkan individu yang bekerja di industri makanan dan minuman untuk mendapatkan suntikan tifoid.

Vaksin tifoid ialah sejenis vaksin yang boleh membantu mencegah dan mengurangkan risiko jangkitan penyakit demam kepialu. Langkah ini bertujuan untuk memastikan tahap keselamatan makanan yang lebih tinggi untuk masyarakat umum.

Pengasingan Antara yang Mentah dan yang Dimasak

Penting untuk selalu menggunakan peralatan yang berbeza, seperti papan pemotong, untuk memproses bahan mentah dan makanan yang telah dimasak. Ini kerana bahan mentah dan makanan yang telah dimasak mengandungi bakteria atau mikroorganisma yang berbeza.

Jika peralatan yang sama digunakan untuk kedua-dua jenis makanan ini, risiko pencemaran silang meningkat dan boleh menyebabkan keracunan makanan.

Selain itu, penyimpanan makanan dalam peti sejuk perlu diasingkan mengikut kaedah yang betul. Jangan sesekali meletakkan makanan mentah dan makanan yang telah dimasak dalam ruangan yang sama.

Kaedah yang betul adalah dengan meletakkan makanan mentah seperti ayam, daging, atau ikan di rak paling bawah peti sejuk untuk mengelakkan sebarang cecair yang mungkin menitis dan mencemari makanan lain.

Di bahagian atas, letakkan makanan yang telah dimasak seperti sup, lauk pauk, atau sayuran yang telah dimasak dalam bekas bertutup untuk menjaga kebersihannya.

Artikel ini disiarkan oleh KelabMama, 21 Julai 2024.

Was this article helpful?

21 July 2024

5 minute read

Telur Salah Satu Punca Keracunan Makanan, Nasihat Daripada Pakar Diet

Siti Sarah Binti Mohd Juzup

Dietary Consultation

Learn more about Dietary Consultation in Columbia Asia

Learn More

Need further assistance?

Speak directly or contact Columbia Asia hospitals near you.

Contact Us

Ask the expert

Lorem ipsum dolor sit amet, consectetuer dipiscing elit.

Ask Now

Was this article helpful?

Subscribe to our newsletter for more Health Care Tips.

This field is for validation purposes and should be left unchanged.

Follow us for latest Health Tips

The Nearest Emergency Contact

Klang

Other emergency contacts

View now
Klang

Select Your Preferred Hospital