25 October 2024
•1 minute read
Lebih 100 Peserta Sertai Walkaton Amal Pink Walk 2.6KM
Share:
25 October 2024
•1 minute read
MIRI, Oktober 24, 2024 – Lebih 100 peserta yang menyertai Walkaton Amal Pink Walk 2.6KM baru-baru ini memperlihatkan semangat perpaduan yang luar biasa dalam usaha meningkatkan kesedaran tentang kanser payudara.
Acara ini dianjurkan bukan hanya sebagai platform kecergasan tetapi juga sebagai simbol sokongan kepada pesakit kanser payudara dan langkah kolektif dalam menyebarkan kesedaran mengenai kepentingan pencegahan dan rawatan awal penyakit ini.
Peserta dari pelbagai lapisan masyarakat hadir dengan tujuan yang sama iaitu untuk memberi harapan, kekuatan dan solidariti kepada mereka yang terkesan.
Peserta yang hadir mengenakan pakaian merah jambu, simbol solidariti dan harapan sambil berjalan bersama demi tujuan yang lebih besar daripada sekadar kecergasan.
Acara ini yang berlangsung di Taman Bulatan di sini turut disokong oleh penaja utama seperti Canon Medical, Hotel Mercure, Hong Leong Assurance, Hospital Columbia Asia Miri, Life Event Borneo, The Arts School, Allen Sound, Omega Plus dan Milo yang menjadikan acara ini lebih meriah dan bermakna.
Dalam ucapan perasmiannya, Helen Wong selaku wakil penganjur menegaskan bahawa setiap langkah yang diambil adalah simbol kekuatan dan harapan untuk masa depan yang bebas dari ancaman kanser payudara.
Lebih istimewa katanya hasil kutipan dari acara ini berjumlah RM3,394.50 akan disumbangkan kepada Kumpulan Sokongan Kanser Payudara Sarawak, sebuah organisasi yang gigih membantu pesakit dan keluarga yang terkesan.
Selain acara walkaton, peserta turut diajak berzumba menjadikan acara ini bukan sahaja penuh kesedaran tetapi juga membina semangat komuniti yang erat.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Ketua Jabatan Pakar Radiologi dari Hospital Columbia Asia Miri, Dr. Makhindran dengan acara memotong riben sebagai simbolik permulaan acara pada hari tersebut.
Lebih 100 peserta sertai Walkaton Amal Pink Walk 2.6KM – Utusan Borneo Online, 24 Oktober 2024
Share: