Skip to content

Pantang Larang Dalam Makan Durian, Benar Atau Mitos?

13 September 2024

•

4 minute read

Pantang Larang Dalam Makan Durian, Benar Atau Mitos?

MUSIM durian telah tiba, dengan itu datanglah pelbagai mitos mengenai raja buah itu.

Apakah benar durian boleh mengganggu kesihatan jika dimakan bersama makanan tertentu?

Adakah semua pantang larang itu sekadar cerita dongeng?

Berdasarkan Piramid Makanan Malaysia 2020, sayur dan buah kini berada di lapisan asas piramid menggantikan makanan sumber karbohidrat.

Ini menunjukkan kepentingan meningkatkan pengambilan sayur dan buah dengan saranan sekurang-kurangnya tiga sajian sayur serta dua buah pada setiap hari.

Buah-buahan dan sayur-sayuran adalah sumber penting vitamin serta mineral bagi membantu tubuh melawan penyakit.

Untuk buah, anda disarankan mengambil dua sajian setiap hari, bersamaan dengan enam ulas durian tanpa biji iaitu sekitar 120 gram (g).

Namun, lebih baik jika dua sajian buah ini dibahagikan kepada dua waktu makan utama yang berbeza, seperti tiga ulas durian pada waktu makan tengah hari dan tiga ulas lagi pada sebelah malam.
Ini sekiranya anda cuma mahu makan durian dan bukan buah lain.

Dalam pada itu, durian mempunyai kandungan gula ringkas yang tinggi seperti sukrosa, fruktosa dan glukosa.

Jadi, pengambilan durian secara berlebihan akan meningkatkan kandungan gula dalam darah.

Pengambilan gula ringkas secara berlebihan turut menyebabkan tenaga berlebihan. Dalam jangka masa panjang, ia boleh menyumbang kenaikan berat badan.

Keadaan ini menjadi lebih membimbangkan jika diet harian juga tinggi lemak dan individu kurang melakukan aktiviti fizikal.

Oleh itu, hadkan pengambilan durian hanya pada waktu makan utama seperti sarapan, makan tengah hari atau makan malam. Selain itu, elakkan makan durian sebelum tidur.

Seterusnya, kesan sampingan pengambilan durian adalah berbeza untuk setiap individu bergantung kepada tindak balas tubuh.

Beberapa kesan sampingan yang sering dilaporkan termasuk jantung berdebar, rasa panas, sakit kepala, pening dan perut berangin.

Walaupun tidak semua orang mengalami kesan sampingan ini, ia tidak bermakna mereka boleh mengabaikan had pengambilan durian yang disarankan.

Tiada istilah buah panas dan sejuk dalam perubatan moden dan tiada kajian saintifik yang menyokongnya.

Namun, memakan durian dengan buah-buahan lain akan meningkatkan pengambilan gula ringkas harian melebihi saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Panduan Diet Malaysia yang mencadangkan pengambilan jumlah gula harian tidak melebihi 50g, bersamaan dengan 10 sudu teh gula.

Durian dianggap ‘panas’ dan boleh menyebabkan batuk dan demam jika diambil secara berlebihan.

Secara saintifik, proses metabolik dan kimia semasa penghadaman mungkin menyebabkan peningkatan suhu badan.

Bagaimanapun, ini tidak menyebabkan demam, batuk, atau jangkitan pernafasan, melainkan jika diambil secara berlebihan dan bergantung kepada daya tahan individu.

Makan sebiji durian tidak akan menyebabkan peningkatan berat badan.

Anggaran tenaga yang terdapat dalam sebiji durian seberat 1 kilogram adalah sekitar 1400 kcal.

Oleh itu, jika durian dimakan bersama diet harian, jumlah tenaga keseluruhan yang diambil boleh melebihi 2000 kcal.

Jika tenaga ini tidak digunakan, ia akan disimpan sebagai lemak yang akan terkumpul secara berterusan dalam badan.

Mengikut kadar metabolisme individu, pengambilan tenaga yang melebihi penggunaan boleh menyebabkan peningkatan berat badan.

Ketika musim durian, pelbagai pantang larang mengenai durian sering dikongsi di media sosial.

Contohnya, ada makanan atau minuman tertentu yang dikatakan perlu dielakkan ketika atau selepas makan durian.

Tiada bukti kukuh yang menunjukkan bahawa minum kopi bersama durian boleh menyebabkan masalah kesihatan seperti tekanan darah tinggi atau serangan jantung.

Serangan jantung biasanya berlaku akibat penyumbatan arteri jantung, pembekuan darah atau arteriosklerosis berkembang selama bertahun-tahun.

Gabungan durian dan kopi tidak akan menyebabkan arteriosklerosis atau pembekuan darah serta-merta.

Namun, anda disarankan agar menjarakkan waktu pengambilan durian dan kopi serta minum lebih banyak air kerana kedua-duanya boleh menyebabkan dehidrasi.

Selain itu, kerap kali kita mendengar nasihat untuk tidak mengambil minuman ringan bersama durian.

Namun, tiada bukti kukuh daripada kajian saintifik yang benar-benar menyokong dakwaan ini.

Kandungan gula dalam minuman ringan tidak berinteraksi dengan durian sehingga mendatangkan kesan berbahaya. Akan tetapi, pengambilan kedua- duanya dalam kuantiti banyak boleh menyebabkan perut kembung atau tidak selesa kerana sistem penghadaman perlu bekerja lebih keras untuk memproses gula, lemak dan kafein serentak.

Tambahan pula, kedua-duanya mengandungi gula ringkas tinggi yang boleh meningkatkan jumlah pengambilan kalori harian.

Oleh itu, elakkan pengambilan serentak secara kerap untuk mengawal paras gula dalam darah terutama bagi pesakit kencing manis.

Sementara itu, disebabkan durian ‘panas’, orang-orang tua melarang makan raja buah bersama daging lembu atau kambing. Namun begitu, tiada kajian saintifik yang kukuh yang membuktikan kebenaran dakwaan ini.

Dalam pada itu, mengikut kepercayaan perubatan tradisional Cina, makanan laut seperti ketam dianggap mempunyai sifat penyejuk, manakala durian dikatakan bersifat panas.

Gabungan kedua-duanya dipercayai boleh mengganggu keseimbangan sistem penghadaman. Secara keseluruhannya, tiada kajian saintifik yang menyokong teori bahawa makanan atau minuman tertentu tidak boleh diambil bersama durian. Namun, lebih baik untuk mengelakkan kombinasi tersebut.

Artikel ini disiarkan oleh Kosmo, 13 September 2024.

Was this article helpful?

13 September 2024

•

4 minute read

Pantang Larang Dalam Makan Durian, Benar Atau Mitos?

Hoormila A/p Sagar

Dietary Consultation

Learn more about Dietary Consultation in Columbia Asia

Learn More

Need further assistance?

Speak directly or contact Columbia Asia hospitals near you.

Contact Us

Ask the expert

Lorem ipsum dolor sit amet, consectetuer dipiscing elit.

Ask Now

Was this article helpful?

Subscribe to our newsletter for more Health Care Tips.

This field is for validation purposes and should be left unchanged.

Follow us for latest Health Tips

The Nearest Emergency Contact

Klang

Other emergency contacts

View now
Klang

Select Your Preferred Hospital