Tidak lama dahulu, tanggapan normal yang dikaitkan dengan punca ulser terjadi adalah stres dan memakan terlalu banyak makanan pedas.
Ulser peptik merupakan luka terbuka yang terdapat di bahagian dalam lapisan perut, bahagian atas usus kecil atau esofagus. Simptom yang paling biasa bagi ulser peptik adalah rasa sakit.
Tidak lama dahulu, ulser peptik dikatakan berpunca daripada cara seseorang itu menjalani kehidupannya. Tetapi kini, para doktor telah membuat penemuan bahawa punca kebanyakan ulser di perut dan bahagian atas usus kecil (duodenum) adalah jangkitan kuman atau medikasi dan bukannya stres atau diet. Ulser esofageal juga boleh terjadi dan lazimnya dikaitkan dengan refluks asid perut.
Ulser mempunyai nama yang berbeza bergantung kepada lokasinya:
- Ulser gastrik. Ulser peptik ini terjadi di dalam perut anda.
- Ulser duodenal. Ulser ini terdapat di dalam bahagian pertama usus kecil anda (duodenum)
- Ulser esofageal. Selalunya, ulser esofageal ini terdapat di bahagian bawah esofagus. Ianya sering dikaitkan dengan penyakit refluks gastroesofageal (GERD).
Ulser peptik adalah satu penyakit yang biasa dialami oleh kebanyakan orang. Yang eloknya, rawatan ulser ini mengambil masa hanya selama beberapa minggu.
Tanda-tanda dan simptom-simptom
Rasa sakit seakan terbakar merupakan simptom biasa bagi ulser peptik. Rasa sakit ini disebabkan oleh ulser dan ianya bertambah sakit lagi apabila asid perut terkena kawasan ulser. Rasa sakit ini mungkin:
- dirasai di mana-mana kawasan dari kawasan pusat ke bahagian tulang dada
- mengambil masa daripada beberapa minit ke beberapa jam
- menjadi lebih teruk apabila perut anda kosong
- mengembang pada waktu malam
- boleh dikurangkan sementara rasa sakit itu dengan memakan berbagai makanan yang akan menjadi penampan kepada asid perut atau dengan mengambil ubat yang mengurangkan asid.
- datang dan pergi untuk beberapa hari atau minggu
Adakalanya, ulser akan menunjukkan tanda-tanda atau simptom-simptom seperti:
- muntah darah – seakan kemerahan atau kehitaman
- darah pekat di dalam najis atau najis yang kehitaman atau seakan tar
- rasa mual atau muntah-muntah
- kehilangan berat badan yang tidak diketahui puncanya
- sakit dada
Punca-punca
Walaupun stres dan makanan pedas pernah dikaitkan sebagai punca ulser peptik, kini, para doktor telah mendapat tahu bahawa punca kebanyakan ulser berpunca daripada bakteria yang berbentuk ‘cockscrew’ Helicobacter pylori (H.pylori). H.pylori tinggal dan bercambah di dalam lapisan mukus yang menyelaputi dan melindungi tisu-tisu di dalam perut dan usus kecil. H.pylori jarang mendatangkan sebarang masalah. Tetapi, adakalanya ia akan mengganggu lapisan mukus, menginflamasikan serta menghakis tisu-tisu pencernaan yang akan menghasilkan ulser. Satu sebab hal ini terjadi adalah mereka yang mempunyai ulser peptik telahpun merosakkan lapisan di dalam perut atau usus kecil – menyebabkan mudah bagi bakteria menceroboh dan menyerang tisu-tisu tersebut.
H.pylori merupakan satu jangkitan gastrointestinal yang biasa. Di Amerika Syarikat, terdapat 1 dalam 5 orang di bawah 40 tahun dan separuh daripada mereka yang berumur lebih daripada 60 tahun telah dijangkiti bakteria ini. Walaupun cara H.pylori merebak tidak begitu dikenalpasti, ia mungkin disebarkan melalui sentuhan intim seperti ciuman. Selain daripada itu, H.pylori juga boleh disebarkan melalui makanan dan minuman.
Walaupun jangkitan H.pylori merupakan punca yang paling biasa bagi ulser peptik, tetapi ianya bukanlah satu-satunya punca penyakit ulser terjadi. Lain-lain punca atau faktor-faktor yang boleh memburukkan lagi keadaan ulser itu termasuklah:
- Penggunaan ubat mengurangkan sakit. Dadah anti-inflamasi bukan steroid (NSAIDs) boleh merengsakan atau menginflamasikan lapisan di dalam perut dan usus kecil. Terdapat medikasi yang boleh diperolehi melalui prekripsi dan di kaunter farmasi. NSAIDs bukan prekripsi termasuklah aspirin, ibuprofen (Advil, Motrin), naproxen (Aleve) dan ketoprofen (Oridus KT). Untuk mengelakkan masalah pencernaan, anda dinasihati mengambil NSAIDs selepas makan.
NSAIDs menghalang penghasilan enzim (siklosigenase) yang menghasilkan prostaglandins. Bahan seakan hormon ini membantu melindungi lapisan perut anda daripada tercedera secara kimia dan fizikal. Tanpa perlindungan ini, asid perut boleh menghakis lapisan tersebut dan menyebabkannya berdarah serta menjadi ulser.
- Merokok. Nikotin yang terkandung di dalam tembakau meningkatkan tahap kepekatan asid di dalam perut dan ini akan meninggikan risiko anda menghidapi ulser. Merokok juga boleh memperlahankan pemulihan sewaktu rawatan ulser.
- Pengambilan alkohol secara berlebihan. Alkohol yang diambil secara berlebihan juga boleh merengsa dan menghakis lapisan mukus di dalam perut anda serta meningkatkan jumlah asid perut yang dihasilkan. Walaubagaimanapun, samada faktor ini merupakan satu-satunya punca yang menyebabkan ulser atau samada faktor-faktor lain harus wujud seperti bakteria H.pylori atau medikasi lain yang menyebabkan ulser seperti NSAIDs.
- Stres. Walaupun stres sahaja bukanlah satu-satunya punca ulser peptik, tetapi ianya merupakan faktor yang menyumbang kepada penyakit ulser. Stres akan memburukkan lagi simptom-simptom ulser peptik dan dalam beberapa kes, mampu melengahkan proses perawatan. Anda mungkin akan mengalami stress disebabkan situasi yang mengganggu emosi anda, surgeri atau trauma fizikal seperti kes kebakaran atau kecederaan teruk yang lain.
Bila anda perlu mendapatkan nasihat pakar doktor
Ulser bukanlah merupakan sesuatu penyakit yang anda boleh rawati secara sendirian tanpa pertolongan doktor. Walaupun antasid atau ubat penyekat asid yang boleh didapati di kaunter farmasi, ianya boleh mengurangkan kesakitan yang dialami dan kelegaannya adalah sementara. Jika anda mempunyai simptom-simptom ulser, sila berjumpa doktor anda. Dengan bantuan kepakaran doktor, anda boleh mendapatkan kelegaan daripada sakit ulser dengan serta-merta dan pulih sepenuhnya.
Penyaringan dan diagnosis
Pada mulanya, doktor anda mungkin melakukan sinar-X di bahagian atas gastrointestinal (GI) yang menunjukkan esofagus, perut dan duodenum. Sewaktu sinar-X dilakukan, anda akan menelan cecair metalik berwarna putih (barium) yang akan melapisi trek pencernaan anda dan menunjukkan lokasi ulser yang dialami dengan lebih jelas. Sinar-X di bahagian atas GI ini mampu mengesan beberapa ulser walaupun tidak semua ulser yang dialami.
Endoskopi mungkin perlu dilakukan jika keputusan sinar-X itu menunjukkan kemungkinan terdapatnya ulser itu atau jika doktor anda telah pun melakukan endoskopi terlebih dahulu. Dalam prosidur yang lebih sensitif ini di mana satu tiub panjang dan berongga dengan kamera di hujungnya dimasukkan secara perlahan-lahan ke dalam tekak dan esofagus ke dalam perut dan duodenum anda. Dengan instrumen ini, doktor boleh melihat bahagian atas trek pencernaan dan mengenalpasti ulser. Jika terdapat ulser, doktor anda akan mengambil sampel tisu kecil (biopsi) berhampiran lokasi ulser. Sampel-sampel ini diperiksa di bawah mikroskop untuk memastikan ianya bukan kanser. Biopsi juga boleh mengesan H.pylori dalam lapisan perut anda.
Selain daripada biopsi, terdapat 3 ujian lain yang boleh memastikan punca ulser yang dialami adalah berpunca daripada jangkitan H.pylori :
- Ujian darah. Ujian ini memeriksa kehadiran antibodi H.pylori. Tetapi kekurangan ujian ini adalah adakalanya ia tidak boleh membezakan dedahan luka di masa lepas ataupun jangkitan yang baru berlaku. Selepas bakteria H.pylori dibasmikan, anda mungkin masih mempunyai keputusan positif buat beberapa bulan.
- Ujian pernafasan. Prosidur ini menggunakan atom karbon radioaktif untuk mengesan H.pylori. Mula-mula, anda dikehendaki menghembuskan nafas ke dalam beg plastik kecil dan ikat beg plastik tersebut ketat-ketat. Kemudian, minum segelas kecil air yang jernih dan tidak berperisa. Cecair itu mengandungi karbon radioaktif sebagai sebatian (urea) ayng akan dipecahkan oleh H.pylori. 30 minit kemudian, anda dikehendaki menghembuskan nafas anda sekali lagi ke dalam beg plastik kedua dan ikat beg plastik tersebut ketat-ketat. Jika anda dijangkiti H.pylori, sampel nafas anda yang kedua akan mengandungi karbon radioaktif dalam bentuk karbon dioksida.
Jika anda mengambil medikasi yang dikenali sebagai pam perencat proton, adalah penting untuk anda berhenti mengambil ubat tersebut 3 hari sebelum ujian pernafasan dilakukan kerana medikasi tersebut boleh mengganggu keputusan ujian.
Kelebihan ujian pernafasan ini adalah ia boleh mengawas keberkesanan rawatan yang digunakan untuk membasmikan H.pylori, mengesan waktu apabila bakteria telah dibasmikan. Melalui ujian darah, kadangkala antibodi H.pylori juga boleh dikesan dalam masa satu tahun atau lebih selepas jangkitan itu hilang.
- Ujian antigen najis. Ujian ini memeriksa kehadiran H.pylori di dalam sampel najis. Ianya amat berguna dalam mendiagnosis jangkitan H.pylori. Ia juga mungkin berguna untuk mengawas samada sesuatu rawatan itu berjaya atau tidak.
Komplikasi
Jika tidak dirawat, ulser peptik mungkin menyebabkan berlakunya perdarahan dalaman dan boleh mengakibatkan lubang di dinding perut atau usus kecil anda, lantas meletakkan anda pada risiko jangkitan serius di kaviti abdomen (peritontis). Ulser peptik juga akan menghasilkan tisu parut yang boleh menyekat laluan makanan melalui trek pencernaan dan menyebabkan anda terasa kenyang dengan mudah, muntah-muntah dan hilang berat badan.
Rawatan
Disebabkan kebanyakan ulser berpunca daripada bakteria H.pylori, doktor-doktor menggunakan kaedah bercabang 2 iaitu:
- membunuh bakteria
- mengurangkan tahap keasidan dalam sistem pencernaan untuk melegakan rasa sakit dan mempercepatkan penyembuhan.
Untuk melakukan kedua-dua langkah tersebut, ia memerlukan sekurang-kurangnya 2 atau kadangkala 3 hingga 4 daripada medikasi berikut:
- Antiobiotik. Beberapa antibiotik yang digabungkan mampu memusnahkan H.pylori. Dan kebanyakan medikasi adalah efektif. Walaubagaimanapun, untuk memastikan rawatan itu efektif, adalah penting untuk anda mematuhi arahan doktor secara teratur. Lazimnya, antibiotik yang diarahkan untuk rawatan H.pylori termasuklah amoxicillin (Amoxil), clarithromycin (Biaxin) atau metronidazole (Flagyl). Beberapa syarikat farmaseutikal telah menggabungkan pakej yang mengandungi kombinasi dua antibiotik dengan penyekat asid atau agen cytoprotectif khas untuk merawat jangkitan H.pylori. Kombinasi kedua-dua rawatan ini dijual di bawah nama Prevpac dan Helidac. Anda perlu mengambil antibiotik tersebut selama satu hingga dua minggu, bergantung pada jenis dan bilangannya. Selalunya, medikasi lain yang diarahkan bersama antiobiotik ini diambil untuk jangkamasa yang lebih lama.
- Penyekat asid. Penyekat asid juga dikenali sebagai penyekat histamine (H-2). Ia mampu mengurangkan jumlah asid hidroklorik yang dibebaskan ke dalam trek pencernaan serta mengurangkan sakit ulser dan menggalakkan penyembuhan. Penyekat asid berfungsi dengan menghalang histamine daripada mendekati reseptor histamine. Histamine merupakan satu sebatian yang terdapat di dalam tubuh anda. Apabila penyekat asid tersebut bertindak dengan reseptor histamine, reseptor-reseptor ini mengisyaratkan sel-sel yang merembeskan asid di dalam perut untuk membebaskan asid hidroklorik. Penyekat asid yang boleh didapati secara prekripsi atau di kaunter farmasi adalah medikasi seperti ranitidine (Zantac), famotidine (Pepcid) dan Cinetidine (Tagamet).
- Antasid. Doktor anda mungkin memasukkan antasid ke dalam pengambilan ubat anda. Antasid boleh diambil sebagai tambahan kepada penyekat asid atau untuk menggantikan penyekat asid tersebut. Tanpa mengurangkan rembesan asid, antasid meneutralkan asid yang terdapat di dalam perut dan boleh memberi kelegaan dengan segera.
- Pam perencat proton. Satu cara lain untuk mengurangkan asid di dalam perut ialah dengan menutup ‘pam-pam’ di dalam sel-sel yang merembeskan asid. Pam perencat proton ini mengurangkan asid dengan cara menyekat pam-pam kecil ini daripada bertindak. Ini termasuklah prekripsi medikasi omaprazole (Prilosec), lansoprazole (Prevcacid), rabeprazole (Aciphex) dan esomeprazole (Nexium). Dadah pantoprozole (Protonix) boleh diambil secara oral atau intravena di hospital. Pam perencat proton juga boleh merencatkan kehadiran H.pylori.
- Agen cytoprotective. Medikasi-medikasi ini boleh melindungi tisu-tisu yang melapisi perut dan usus-usus kecil anda. Ini termasuklah prekripsi medikasi sucralfate (cerafate) dan misoprostol (Cytotec). Contoh agen cytoprotective bukan prekripsi adalah seperti bismuth subsalicyclate (Pepto-Bismol). Di samping melindungi lapisan dalam perut dan usus anda, persediaan bismuth seakan merencatkan aktiviti H.pylori.
Jika H.pylori tidak dikesan di dalam sistem anda, kebarangkalian ulser anda berpunca daripada NSAIDs – dadah anti-inflamatori bukan steroid – yang mana anda patut berhenti mengambilnya jika boleh; atau asid refluks (ulser esofageal). Dalam kedua-dua kes, doktor anda akan mengurangkan tahap keasidan dengan menggunakan penyekat asid, antasid atau pam perencat proton. Dan kemungkinan besar anda juga dikehendaki mengambil dadah cycloprotection.
Ulser-ulser yang gagal disembuhkan
Peptik ulser yang tidak dapat disembuhkan setelah dirawat dikenali sebagai ulser refraktori. Terdapat beberapa sebab kenapa ulser gagal disembuhkan walaupun setelah mendapatkan rawatan. Salah satu sebabnya adalah pesakit ulser tidak mengambil medikasi mengikut arahan yang diberikan oleh doktor. Sebab yang lain adalah terdapat beberapa jenis H.pylori yang ‘tahan’ kepada antibiotik. Faktor-faktor lain yang boleh mengganggu proses pemulihan termasuklah penggunaan tembakau, alkohol atau NSAIDs. Namun demikian, ada ketikanya punca masalah ini adalah secara tidak disedari di mana ramai yang tidak menyedari medikasi yang mereka ambil mengandungi NSAIDs.
Dalam beberapa kes, ulser refraktori mungkin terjadi akibat daripada:
- Penghasilan asid perut secara berlebihan seperti yang terjadi di dalam sindrom Zollinger-Ellison
- Jangkitan lain selain daripada H.pylori
- Penyakit pencernaan yang lain, termasuk Crohn’s atau kanser
Rawatan untuk ulser refraktori termasuklah faktor penyingkiran yang akan mengganggu proses penyembuhan, bersama sukatan medikasi ulser yang lebih kuat. Kadangkala, medikasi tambahan diperlukan. Sugeri untuk membantu menyembuhkan ulser adalah perlu hanya apabila ulser tidak menunjukkan sebarang tindakbalas terhadap rawatan dadah yang agresif.
Penjagaan diri
Sebelum H.pylori dikesan, doktor kerap menasihati mereka yang menghidap ulser untuk makan makanan yang terkawal dietnya dan mengurangkan stres dalam kehidupan mereka. Kini, memandangkan faktor pemakanan dan stres telah dikenalpasti sebagai bukan punca utama ulser, ianya tidaklah begitu penting. Walaubagaimanapun, sementara ulser itu sedang dalam proses penyembuhan, anda dinasihatkan untuk mengambil berat tentang pemakanan dan mengawal stress anda. Stres mungkin menambahkan asid dan melambatkan pencernaan. Ini menyebabkan makanan dan asid pencernaan kekal di dalam perut dan usus anda untuk jangkamasa yang lebih lama. Jika stres yang dialami agak serius, ia akan melambatkan penyembuhan ulser.
Selain daripada itu, doktor anda mungkin akan mencadangkan langkah-langkah berikut:
- Berhenti merokok. Merokok akan mengganggu lapisan yang menyelaputi perut anda dan menyebabkannya lebih mudah untuk ulser merebak. Selain daripada itu, merokok juga boleh meningkatkan kandungan asid di dalam perut.
- Hadkan atau elakkan alkohol. Penggunaan alkohol secara berlebihan boleh merengsakan serta menghakis lapisan mukus di dalam perut dan usus anda lalu menyebabkannya inflamasi dan berdarah.
- Elakkan dadah anti-inflammasi bukan steroid (NSAIDs). Jika anda kerap menggunakan pil penahan sakit, anda digalakkan menggunakan acetaminophen (Tylenol, dll)
- Mengawal refluks asid. Jika anda menpunyai ulser esofageal yang kerapkali dikaitkan dengan refluks asid, anda boleh mengambil beberapa langkah untuk membantu refluks asid. Ini termasuklah elakkan makanan pedas dan berlemak, elakkan berbaring selepas makan untuk sekurang-kurangnya 3 jam, tinggikan bahagian kepala katil anda dan kurangkan berat badan anda. Dengan mengelakkan diri daripada merokok, minum alkohol dan NSAIDs akan membantu anda mengawal refluks asid.
Share:
Was this article helpful?
Share:
Was this article helpful?
Health Packages
Elevate your health with tailored health packages at Columbia Asia Hospital. Take charge of your health journey today.